Jumaat, 20 Mei 2011

Aku Mahu Kaya…

Hari ini, apabila kita menyebut tentang kaya, maka kebanyakan yang terlintas di benak kita, adalah harta yang bertimbun, duit yang berjuta, rumah yang besar dihiasi pula dengan pelbagai prasarana yang selesa, kereta yang mewah-mewah dan banyak lagi.

Kekayaan, satu perkara yang amat diimpikan oleh kebanyakan manusia. Bahkan, tidak salah sekiranya dikatakan amat jarang kita temui manusia yang tidak inginkan kekayaan, kerana hampir kesemua manusia itu menginginkan kekayaan.

Malah, ada di antara manusia yang menganggap dengan kekayaan kita boleh mendapatkan apa sahaja yang kita mahukan. Tiada siapa pun yang mampu menghalang kita. Itulah fikiran sesetengah manusia yang diracuni keduniaan, hidup seumpama raja di istana, tetapi hakikatnya menjadi hamba di dalam kekayaan. Hamba kepada duit, harta benda dan material.

Siang dan malam hidupnya, diusahakan untuk mengumpul kekayaan. Lebih jauh daripada itu, ada pula di antara manusia yang mengusahakan kekayaan itu tersasar jauh daripada landasan hidayah. Tidak terfikir halal haram yang ditetapkan dalam agama, sehingga perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta'ala entah dimana letaknya. Setiap masa dalam mindanya, kaya, kaya, kaya dan kaya...

Adakah kita termasuk salah seorang daripada insan yang sedemikian...?


Dua Jenis Kekayaan?

Insya' Allah, pada kali ini, saya ingin mengajak anda untuk memandang kekayaan itu daripada sudut yang berbeza. Perkara yang sama, iaitu 'kaya' cuma, kita perluaskan lagi perspektif terhadap kaya itu sendiri.

Ketahuilah wahai saudaraku, sesungguhnya kekayaan itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu kekayaan metarial dan kekayaan hati rohani. Kekayaan material, adalah sebagaimana yang telah saya sebutkan di atas. Manakala, kekayaan hati rohani pula, adalah tenangnya hati dengan terhiasnya hati oleh sifat-sifat mahmudah dan budi pekerti yang tinggi. Contohnya sifat ikhlas, sabar, syukur, tawakal dan banyak lagi yang disebutkan di dalam kitab-kitab akhlak.

Kekayaan material dan harta benda hanya akan kekal di dunia, apabila kita meninggal dunia, maka kita akan tinggalkan segalanya, seterusnya hancurlah jasad di dalam tanah. Malah, kekayaan material itu kebanyakannya membawa malapetaka kepada manusia di dalam hidupnya, sekiranya tidak diurus dengan sebaiknya.

Namun begitu, kekayaan hati adalah sebaliknya, tidaklah ia menambahkan kepada kita melainkan kebaikan dan bahagia, meskipun tidak mempunyai harta benda yang banyak dan mewah. Kekayaan hati adalah puncak kebahagiaan. Dan disebutkan oleh para ahli hikmah, bahawa kekayaan hati inilah kekayaan yang hakiki dan sejati.

Yang Kaya Itu Jiwa...

 

Ada manusia yang kaya material, tetapi hatinya miskin. Hidupnya bergelumang dengan harta, tetapi dia tidak dapat menikmati kekayaan material itu dengan sebaiknya, lantaran hati yang menjadi alat untuk menikmati kekayaan material itu senantiasa dihinggapi rasa resah, gundah  dan gelisah.


Ada pula manusia, yang hidupnya hanyalah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tiada harta yang banyak dan tempat tinggal yang mewah, tetapi hidupnya terasa bahagia dan gembira. Semua itu kerana kekayaan hati rohani dan jiwanya yang penuh dengan sifat mahmudah.

Kesimpulan daripada penulisan saya yang serba ringkas pada kali ini, marilah kita bersama-sama mengejar dan mengusahakan kekayaan hati, kerana itulah hakikat kejayaan dan kebahagiaan yang sebenar-benar. Kekayaan hati dengan sifat mahmudah akan menghantarkan kita jalan bahagia menuju ke Syurga, sedangkan kemiskinan hati daripadannya akan membuatkan kita terhumban ke dalam Neraka yang tidak terperi azabnya.

Semoga saya dan anda yang membaca penulisan ini akan memperolehi manfaat  bagi dunia dan akhirat kita. Amiin Ya Rabbal 'Alamiin.


Wallahu 'alam.

P/S: Ramai manusia mampu mengumpul dan mencapai kekayaan material, tetapi tidak ramai yang mampu mencapai kekayaan hati dan budi...

Sabtu, 14 Mei 2011

Kesedihan Bilal bin Rabah Radhiallahu 'anhu Mengenang Kewafatan Rasulullah Shallallahu 'alaihiwassalam.


Alhamdulillah, hari ini saya baru terima dua buah buku (Sirah Shahabat dan Mukhtasar Minhajul Qashidin) yang telah ditempah daripada Nawawi Subandi di laman: http://galeriniaga.blogspot.com

Di sini saya ingin berkongsi dengan anda sedikit kisah yang menyentuh hati bagi saya, disebutkan dalam kisah hidup Bilal bin Rabah Radhiallahu 'anhu saat terkenangkan kewafatan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam, daripada buku Sirah Shahabat terbitan Pustaka As-Sunnah yang diterjemahkan daripada Shuwaru Min Hayat Ash-Shahabah karya Dr. Abdurrahman Ra'fat Basya. Semoga saya dan anda akan beroleh manfaat.

Pada hari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam wafat, tibalah waktu solat sedangkan jenazah baginda Shallallahu 'alaihi wassalam belum pun dikebumikan. Bilal bin Rabah Radhiallahu 'anhu pun seperti mana menjalankan rutin kebiasaannya, pergi untuk mengumandangkan azan.

Bilal bin Rabah Radhiallahu 'anhu pun mula mengumandangkan azan, namun apabila sampai pada kalimah "Asyhadu anna muhammadar rasulullah," Bilal bin Rabah Radhiallahu 'anhu pun menangis tersedu-sedu. Suaranya tidak keluar, lantaran kesedihan hatinya. Melihatkan keadaan Bilal bin Rabah Radhiallahu 'anhu, pengumandang azan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam sedemikian rupa, kaum muslimin yang melihat situasi itu pun turut menangis bersama, mereka tenggelam dalam kesedihan.

Beberapa hari setelah itu, Bilal bin Rabah Radhiallahu 'anhu telah bertemu dengan Abu Bakar Ash-Shiddiq Radhiallahu 'anhu – Khalifah pertama Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam untuk memohon keizinan untuk pergi berjihad fisabilillah, dan berhenti untuk mengumandangkan azan, kerana tidak mampu lagi untuk melakukannya.

Bilal bin Rabah Radhiallahu 'anhu berkata kepada Abu Bakar Ash-Shiddiq Radhiallahu 'anhu: "Sungguh, aku tidak mahu azan lagi setelah kewafatan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam!"

Sekian kisah dengan olahan semula.

Di dalam kisah ini betapa kita dapat melihat begitu cintanya sahabat Bilal bin Rabah Radhiallahu 'anhu kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam. Kewafatan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam dirasakan sebagai satu kehilangan yang cukup besar...

Wallahu 'alam.

P/S: Semoga Allah menanamkan cinta yang teguh terhadap Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam di dalam hati saya dan anda, sehingga perasaan mencintai Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam itu melebihi dunia dan seisinya. Amiin ya Rabbana...
>

Jumaat, 6 Mei 2011

Tips Memilih Buku Agama Yang Berkualiti.

Oleh: Suhili bin Nain.
 

Kebelakangan ini sibuk sangat. Adakalanya badan sibuk melakukan pekerjaan, dan adakalanya pula minda pula yang sibuk berfikir mengenai permasalahan dalam kehidupan seharian. Begitulah kehidupan insan, tidak akan pernah berada dalam kesenangan yang berpanjangan. Lebih-lebih lagi dalam tempoh beberapa ketika ini, murid-murid sekolah demam peperiksaan, maka tugas kami sebagai pendidik tentunya lebih sibuk daripada biasa, kerana hendak menyiapkan soalan, kemudian setelah itu pula akan memeriksaan jawapan di atas soalan yang disediakan. Pengorbanan hidup. Baru terasa dan faham perasaan guru-guru yang mendidik saya dan rakan-rakan terdahulu, ketika dibangku pengajian.

Alhamdulillah, dalam kesempitan masa minggu ini dapatlah ambil masa sedikit menulis sesuatu untuk blog Pencinta Buku, selain untuk mencari ketenangan dan kebahagiaan. Bak kata orang, ingin bahagia, maka kita perlu memberi, sebagaimana kata seorang penulis tanah air, Pahrol Muhammad Juoi.

Dengan izin Allah, pada kali ini saya akan berkongsi dengan anda sekalian mengenai dua tips yang biasa saya amalkan untuk memilih buku yang berkualiti. Meskipun begitu, tips ini hanyalah ringkasan dan umum sahaja, untuk menjelaskannya secara terperinci dan khusus, ianya akan memakan masa dan penjelasan yang berjela-jela. Dan kebiasaannya, kita lebih suka untuk membaca perkara yang mudah dan ringkas.

Tanpa membuang masa, teruskan membaca untuk memahami tips memilih buku berkualiti.

1. Hasil karya ulama.

Apabila saya hendak membeli buku, kebiasaanya saya akan mengutamakan untuk membeli buku yang dihasilkan oleh ulama Islam yang terkenal dan tersohor. Contohnya Imam Asy-Syafi’e, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam An-Nawawi, Imam Adz-Dzahabi, Imam Abu Ja’far Ath-Thahawi, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Imam Ibnu Taimiyyah, Imam As-Suyuti dan Imam Ibnu al-Jauzi serta banyak lagi lagi.

Namun begitu, sekiranya saya tidak mendapati mana-mana buku hasil karya ulama Islam yang diiktiraf dunia berkenaan topik yang saya cari, maka cara alternatifnya saya akan membeli buku -buku yang ditulis oleh penulis pada pandangan saya kelihatannya dipercayai, berdasarkan syarat-syarat tertentu. Contohnya penulis tersebut membahaskan sesebuah topik berdasarkan penjelasan para ulama. Ini dapat dilihat apabila penulis memetik kata-kata para ulama Islam dan dinyatakan rujukannya, seperti nama kitab dan muka suratnya. Ini kerana, penulis yang menulis buku dengan penjelasan ulama itu menandakan bahawa  penulis buku tersebut bukannya menulis berdasarkan pemahamannya semata-mata, melainkan berdasarkan pemahaman para ulama.

2. Dinyatakan darjat hadis dan rujukan.

Setiap hadis yang diriwayatkan atau dinukilkan di dalam buku berkenaan dinyatakan darjat hadisnya. Tidak cukup sahaja dengan menyebut nama perawi hadis berkenaan, seperti “hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi”, tetapi turut dinyatakan sekali sama ada darjatnya hadisnya sahih, hasan mahupun hadis yang dhaif. Ini adalah untuk mengelakkan kita daripada tersilap dalam pengambilan ilmu dan penyebarannya. Ini kerana, menurut pemerhatian saya, kebanyakan buku yang tidak menunjukkan darjat hadis yang dinukilkannya, memiliki masalah. Contohnya hadis tersebut adalah palsu dan dusta.


Itulah dua tips ringkas yang saya amalkan dalam memilih buku agama berkualiti. Semoga ianya memberikan manfaat kepada anda. Sebelum mengakhiri perkongsian kali ini, pesanan saya kepada anda, sebaik-baiknya jauhilah buku yang tidak mempunyai ciri-ciri yang saya sebutkan di atas. Bukan untuk membakul sampahkan buku-buku berkenaan, tetapi kebiasaannya buku yang tidak memenuhi ciri-ciri berkenaan cukup tinggi terdedah kepada bermacam kesilapan. Sekian, wallahu ‘alam.

P/S: Sekiranya anda mempunyai persoalan, sama ada meminta cadangan mengenai buku yang baik atau pun sebagainya, bolehlah dituliskan pada ruangan yang disediakan. Sekiranya ada kesempatan, dengan izin Allah saya akan membantu anda semampunya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular