Ahad, 24 April 2011

Meminta nasihat, amalan para orang soleh.

Buku Bertemakan kisah orang soleh.

 
Baru-baru ini saya ada membeli sebuah buku yang ditempah daripada seorang blogger di semenanjung. (galeriniaga.blogspot.com). Buku yang saya tempah bertajuk "Mereka Adalah Para Tabi'in, Kisah-kisah Paling Menakjubkan Yang Belum Tertandingi Hingga Hari Ini" terbitan Pustaka At-Tibyan, yang asalnya diterjemahkan daripada kitab berbahasa arab bertajuk "Shuwaru min Hayati at-Tabi'in" karya Dr. Abdurrahman Ra'fat Basya.

Buku ini mengisahkan tentang kisah para tabi'in. Secara ringkas, yang dimaksudkan dengan tabi'in adalah orang yang bertemu sahabat Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam dan beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala serta mati mereka pun dalam keadaan beriman. Mereka menuntut ilmu dan mewarisi ilmu daripada para sahabat Radhiallahu 'anhum ajma'in yang mendapat dididikan daripada madrasah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam.

Para tabi'in adalah golongan yang hidup pada kurun kedua hijrah. Mereka ini tergolong dalam kalangan Salafus Soleh. Sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam dalam sebuah hadis sahih, bahawa sebaik-baik umat adalah kurunnya (para sahabat), kemudian setelah itu (para tabi'in) dan kemudian setelah itu (para tabi'-tabi'in).

Bagi saya membaca kisah di dalam buku ini sememangnya cukup membahagiakan, kerana dengan itu kita boleh mengenal pejuang dan tokoh Islam yang terdahulu. Di dalam buku-buku yang bertemakan kisah hidup para pewaris Nabi dan Rasul ini, kita akan temui pelbagi kisah dan hikmah yang boleh kita jadikan sebagai panduan dalam kehidupan.

Serta tidak keterlaluan rasanya, sekiranya saya menyatakan membaca buku-buku yang membicarakan kisah hidup orang  soleh sebegini lebih baik daripada kita membaca novel-novel cinta yang mengkhayalkan, membuatkan kaki kita tidak berpijak dibumi yang nyata. Ini kerana membaca kisah hidup orang soleh itu mampu mendorong kita untuk mencintai mereka, seterusnya mengikuti jejak langkah mereka.

Amalan meminta nasihat.

Sepanjang saya membaca buku yang saya sebutkan di atas, daripada kisah seorang tokoh kepada tokoh yang lain. Saya menyedari sesuatu, bahawa adanya satu sikap para orang soleh dan orang disekeliling mereka yang sering saya dapatkan apabila membaca kisah hidup mereka, iaitu kebiasaan meminta nasihat.

Orang-orang soleh yang terdiri daripada tokoh Islam kebiasaannya apabila mereka bertemu, mereka akan saling berbincang tentang sesuatu urusan yang mampu mendatangkan kebaikan bagi diri mereka dan orang yang berada disekeliling. Mereka bukan setakat menuntut ilmu apabila bertemu dengan orang-orang berilmu, tetapi mereka juga kebiasaannya akan meminta nasihat atau pesanan sama ada ketika susah atau senang, untuk dijadikan penyuluh jalan dalam kehidupan ini.

Nasihat yang diterima saat kesusahan mampu menjadi penawar dan pengubat hati yang resah. Sedangkan nasihat yang diterima saat dalam keadaan senang, membuatkan kita senantiasa berwaspada.
Perkara ini sememangnya adalah sangat terpuji. Bahkan di dalam surah Al-Asr', di dalam Al-Qur'an, telah dinyatakan bahawa manusia itu senantiasa berada dalam kerugian melainkan mereka yang mereka beriman, beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran, serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

Manfaat meminta nasihat dan kita?

Lebih daripada itu, sekiranya kita merenung dengan lebih dalam, amalan meminta nasihat ini sebenarnya menggambarkan serta mendidik hati seseorang itu agar menjadi tawadhuk (merendah diri) kepada Allah Subhanahu wa Taala dan menanam sifat menghormati sesama insan.

Sayangnya hari ini kita dapat melihat, amalan meminta nasihat ini sudah menjadi berkurangan dan tidak begitu dibudayakan. Manusia sudah jarang meminta nasihat. Bahkan yang banyaknya pada hari ini, apabila seseorang itu dinasihatkan maka dia akan melenting dan berkata "Suka hati akulah!" atau kata-kata yang lebih kurang dengan itu. Tidak kurang juga yang menunjukkan muka yang masam.

Sekiranya nasihat itu benar, ambillah pengajaran daripadanya. Sekiranya nasihat itu tidak bersesuaian dengan keadaan kita, simpanlah. Boleh jadi, suatu hari nanti kita akan memerlukan hikmah yang tersimpan di dalamnya.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala menyelamatkan kita dan menyembuhkan hati kita daripada penyakit hati yang meracuni jiwa, lantas membunuhnya. Ya Allah, selamatkanlah kami, ketika hari dimana tiada bermanfaatnya harta dan anak-pinak melainkan orang yang bertemu dengan Mu dengan hati yang bersih. Amiin ya Rabbana.
 
Wallahu 'alam.

P/S: Kepada yang berkunjung ke laman ini, nasihatilah saya, semoga kelak ianya akan bermanfaat buat saya dan anda.... ^_^
.

Selasa, 19 April 2011

Menulis dan Tanggungjawab?

 
Pada masa ini terdapat pelbagai cara yang kita boleh gunakan sebagai usaha untuk menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah manusia daripada kemungkaran. Di antara sekian banyak cara tersebut, salah satunya adalah dengan menulis. Kita menulis artikel atau buku yang mengandungi manfaat, penjelasan kepada kebenaran dan peringatan daripada perkara yang menyimpang.

Menulis bukanlah usaha yang boleh dipandang sebelah mata, tetapi ianya merupakan satu tanggungjawab yang besar. Ini kerana, dengan penulisan kita boleh mempengaruhi seseorang yang membaca penulisan kita, tanpa perlu mengeluarkan suara.

Antara perkara awal yang perlu kita lakukan, untuk menghasilkan satu penulisan adalah melakukan pengumpulan maklumat atau secara mudahnya, adalah menuntut ilmu terlebih dahulu. Pepatah menyatakan, "Orang yang tidak memiliki, tidak akan mampu memberi!". Sekiranya kita tidak memiliki ilmu dalam perkara yang ingin kita tulis, maka sudah tentulah tiada sesuatu yang akan dapat kita sampaikan.

Di samping itu, ini juga bagi memastikan bahawa apa yang kita tulis itu adalah sesuatu yang benar secara pasti, dan bukannya sekadar sangkaan semata-mata.
  
Perlu ditanamkan di dalam hati kita, bahawa sebagaimana setiap apa yang kita ucapkan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak, maka begitu jugalah halnya dengan apa yang kita tulis. Setiap patah perkataan yang kita tuliskan di atas kertas itu akan diperhitungkan, sama ada ianya membuahkan kebaikan atau pun sebaliknya.

(Sekarang, kebiasaannya orang menaip sudah..hehehe..) 

Oleh itu, cukup penting untuk kita bersikap teliti dan fokus dalam satu penulisan berunsur dakwah. Kita haruslah memastikan kesahihan setiap maklumat yang akan kita sampaikan, agar apa yang kita tulis akan membuahkan manfaat serta kebaikan kepada diri kita dan orang lain yang membaca penulisan kita. Wallahu 'alam.
.

Sabtu, 16 April 2011

Jom Hayati Keindahan Malam Ciptaan Allah...



Allah SWT telah menciptakan malam sebagai lawan kepada siang hari. Pada malam hari, alam akan diselubungi oleh kegelapan. Adakalahn pada malam itu, Allah SWT menyinarkan manusia dengan cerahnya bulan purnama, dan adakalanya pula manusia dibiarkan gelap tanpa cahaya.



Semua itu mengandungi hikmah yang cukup besar. Sebahagiannya diketahui oleh manusia, dan sebahagiannya cuma Allah SWT yang Maha Mengetahui. Yang pastinya, malam yang diciptakan oleh Allah SWT sememangnya cukup hebat.

Pada malam hari, digelapkan alam oleh Allah SWT agar manusia dapat menikmati keindahan langit malam yang diciptakannya, dihiasi dengan bintang-bintang yang bertaburan. Jumlah bintang-bintang itu pula tidak terhitung jumlahnya. Sebagai hamba Allah SWT yang mempunyai akal dan fikiran, memandang langit pasti akan membuat kita berfikir dan kagum dengan keindahannya lantas bertasbih mensucikan Allah SWT, "Subhanallah!". Lantas diri terasa begitu kerdil dan lemah, tidak berkuasa berbanding Allah SWT yang telah menciptakan sedemikian rupa.

Begitu agung Allah SWT. Adakah makhluk yang menciptakan malam sedemikian rupa?

Selain buat mengusik perasaan manusia agar mengagungkan, malam juga dijadikan bagi manusia untuk tidur dan merehatkan fikiran dan badan, setelah penat seharian mencari nafkah kehidupan yang serba-singkat. Begitu indah pengaturan Allah SWT.


Sepanjang hidup saya, suasana malam yang paling indah pernah saya lihat adalah pada waktu sahur ketika bulan puasa Ramadhan. Subhanallah...

Langit malam itu kelihatan biasa saja, tetapi bila kita menghayatinya sepenuh hati dan jiwa kita akan sedar bahawa ianya sebenarnya luar biasa...!
.

Khamis, 14 April 2011

Syair Arab Yang Mengusik Hati...


Maksudnya:
Tanganku akan hancur di dalam tanah 
Yang tinggal hanya tulisanku di dalam buku
Moga sesiapa yang membaca tulisanku 
Doakanlah keselamatanku daripada azab (api neraka).



Syair arab ini telah dipetik tidak lama dahulu daripada blog, Ummihalimaton.blogspot.com, pada 21. Jun. 2010, bersamaan hari isnin. Bagi saya, bait syair arab ini cukup mengusik hati. Anda boleh melihat satu lagi syair arab yang ringkas daripada blog berkenaan di ruangan "Syair arab lukisan hati". Sila klik sini: Syair arab lukisan hati

Saya doakan, semoga anda yang berkunjung ke sini dan saya yang menulis beroleh manfaat, berkat dan rahmat serta segala kebaikan dan keampunan daripada Allah SWT.
.

Rabu, 13 April 2011

Usia Remaja Jangan Diremehkan!

Oleh: Suhili bin Nain.


'Mind Set' Tentang Usia Remaja.

Masa remaja adalah zaman yang paling manis, kerana pada zaman remaja hidup kita lebih bebas berbanding ketika berada di usia kanak-kanak. Dalam zaman remaja, pelbagai perkara yang boleh kita rasakan dan ceburi, daripada soal cinta hinggalah kepada persahabatan dan pelbagai benda baru. Kita merasa kita saat itu sepatutnya dibiarkan bebas untuk memilih apa yang kita inginkan. Terlerai daripada kongkongan kedua orang tua.

Itulah anggapan yang bermain di dalam kebanyakan minda mereka yang meningkat ke usia remaja. Namun, sekiranya kita berfikir secara kritis dan teliti, apa yang difikirkan di atas itu sebenarnya daripada jauh kebenaran yang sebenar. Zaman remaja bukanlah zaman 'enjoy' dan bergembira, tetapi sebenarnya ia adalah zaman yang cukup kritikal dan menjadi penentu kepada masa depan kita. Tersilap langkah, buruk padahnya!

Apa-apa keputusan yang akan kita lakukan dalam lingkungan usia remaja ini, ianya akan memberi 'effect' yang besar kepada masa depan ketika meningkat usia dewasa nanti.

Apa Kata Islam Tentang Remaja?

Menurut Islam, lingkungan usia remaja bukanlah lesen untuk kita hidup dalam serba kebebasan. Bahkan, usia lingkungan remaja sebenarnya adalah satu permulaan, bahawa bagi seseorang insan itu memulakan memegang amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

"Diangkat pena (tidak dicatat amalan) dari tiga golongan: orang yang tidur sehingga dia bangun (jaga), dan kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh),  dan orang yang gila sehingga dia berakal (siuman)." (HR Ahmad. Terdapat hadis sahih di dalam Irwa Al-Ghalil yang mempunyai maksud yang sama tetapi dengan lafaz yang berbeza)

Baligh adalah 'first step' bagi bermulanya kehidupan usia remaja. Daripada hadis di atas, jelas kepada kita bahawa remaja adalah saat bermulanya penulisan catatan amalan bagi seseorang insan. Ini bermakna, segala tindakan yang dilakukannya bermula daripada tempoh baligh itu akan dipertanggungjawab kepadanya oleh Allah SWT di hari penghisaban kelak.

Bayangkan, seorang remaja yang baru baligh dan memasuki lingkungan usia remaja. Tidak lama beberapa jam selepas beliau baligh, remaja itu telah meninggal dunia kerana telah tiba ajalnya. Maka bagi remaja itu, masa beberapa jam selepas baligh itulah yang akan menentukan nasibnya di hari Akhirat kelak.

Sekiranya dalam masa beberapa jam itu dia menghabiskan masa dengan perkara yang berfaedah dan ibadat kepada Allah SWT, maka insya' Allah nasibnya di alam yang berikutnya akan menjadi mudah. Tetapi cuba bayangkan, seandainya dalam masa beberapa jam yang singkat itu dia meninggal dunia dia telah menghabiskan masanya dengan perkara yang tidak berfaedah, perbuatan maksiat yang mengundang murka Allah SWT, apakah akibat yang akan menimpa dirinya setelah itu?

Oleh itu, seharusnyalah bagi setiap remaja yang beragama Islam menyedari perkara ini, dan menginsafi diri bahawa usia remaja bukanlah untuk hidup sebebas-bebasnya, tetapi sebenarnya ada permulaan sebuah tanggung jawab yang besar. Ingat, terlebih bebas selalunya terbabas!

Remaja Soleh: Antara Tujuh Golongan Yang Mendapat Naungan.

Telah disebutkan dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bahawa pada hari kiamat nanti, ketika hari di mana tiada naungan melainkan naungan daripada Allah SWT, terdapat tujuh golongan yang akan diberi keistimewaan. Saat manusia lain sedang berdiri di dalam sinaran cahaya yang cukup panas dan menyengat, tujuh golongan ini pula sebalik berada dalam suasana yang tenteram dan aman, kerana mereka mendapat naungan perlindungan daripada Allah SWT.

Diantara tujuh golongan berkenaan, salah satunya adalah pemuda yang membesar dalam keadaan beribadat kepada Allah SWT. Inilah keistimewaan dan kelebihan yang akan diberikan oleh Allah SWT kepada mana-mana remaja yang ketika dalam proses pembesarannya menghabiskan masanya untuk mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.

Atas dasar menyedari perkara inilah mengapa para Salafus Soleh yang terdahulu ketika usia remajanya menghabiskan masanya dengan usaha menuntut ilmu dan beramal. Bahkan cukup mengangumkan, ada diantara para Salafus Soleh itu usia remaja lagi sudah menjadi orang yang terpandang, bahkan mencapai taraf ilmuan yang menjadi sebutan.

Sebagai contohnya, Imam Syafi'e Rahimahullah, pendiri kepada Mazhab Syafi'e dan penyusun kitab Usul Feqh yang pertama, ketika usianya mencecah 18 tahun dalam usia remaja, keilmuannya sudah melayakkannya untuk mengeluarkan fatwa yakni menjadi mufti dan menjadi rujukan dalam menjawab persoalan umat. Imam Syafi'e, ketika kecilnya sehinggalah mencapai usia dewasa beliau tidak pernah jemu untuk menuntut ilmu dan beramal. Selain itu, terdapat lagi banyak lagi kisah-kisah lain daripada kalangan para Salafus Soleh yang ketika usia remajanya telah menjadi antara yang terbilang di dalam sejarah umat Islam serta menjadi kebanggaan hingga kini.

Perkara ini seharusnya menjadi pedoman buat kita tidak mengira peringkat usia, menjadi contoh dan pembakar semangat dalam mengejar kejayaan dalam kehidupan dunia dan di akhirat yang kekal abadi. Sekiranya perkara ini dapat dihayati oleh remaja hari ini dengan sebaiknya, ianya boleh  satu menjadi 'turning point' yang besar dalam pemikiran mereka.

Kalau Bukan Remaja, Siapa Lagi?

Sudah menjadi lumrah, setiap yang muda pasti akan tua, dan setiap yang tua pasti akan pergi, kerana takdir Ilahi telah menetapkan "Kullu nafsin dza iqotul maut!" (Setiap jiwa pasti akan merasai kematian).

Begitulah masa silih berganti. Remaja hari ini adalah generasi pelapis masa depan, suatu hari nanti mereka pasti akan dewasa, dan seterusnya memegang nasib umat ini. Pujangga pernah bermadah:

"Seandainya engkau ingin melihat masa depan sesuatu umat, maka lihatlah kepada pemudanya hari ini!" 

Oleh itu, menyedari hakikat ini remaja sepatutnya mempersiapkan diri daripada sekarang untuk memikul tanggung jawab yang besar itu. Jangan asyik mengamalkan sikap, "Tidak apa, orang lain kan ada!", kerana masa depan dan kekuatan itu bukan dibina dengan seorang, tetapi ianya dibina dengan ratusan, ribuan dan jutaan orang.

Untuk membina masa depan yang gemilang, remaja juga harus mempunyai jati diri dan membuang sikap memandang remeh kewujudan serta sumbanganya, "Alah, aku seorang saja bukan boleh akibatkan apa-apa pun!".

Ingat, kecil bukan bermakna tidak bererti atau tidak penting. Bahkan perkara yang kecil itulah sering membawa perubahan yang drastik dan cukup besar dalam kehidupan dan masa depan. Kerana menyimpang beberapa darjah, panah yang dilepaskan boleh tersasar jauh daripada sasaran!
.

Ahad, 10 April 2011

Pencinta Buku: Bacalah Buku Berulang Kali…

Oleh: Suhili bin Nain.

Membaca kisah para nabi dan para salafus soleh yang terdahulu merupakan salah satu daripada pembacaan yang cukup bermanfaat, kerana dengannya kita dapat mengambil teladan dalam menjalani kehidupan seharian, meskipun mereka telah lama meninggalkan kita.

Ketika membaca sebahagian kisah ulama Islam di dalam buku-buku yang saya telaah daripada muka surat ke muka surat, antara perkara yang cukup menarik hati saya dan membuatkan saya takjub adalah apabila membaca mengenai ulama yang mempunyai hafalan yang cukup menakjubkan; di mana di antara para ulama Islam ada yang membaca sebuah buku dengan sekali bacaan sahaja mampu menguasai dan menghafal apa yang terkandung di dalam buku berkenaan.

Suka untuk saya mendatangkan satu contoh di sini,  sebagaimana yang dinukil dalam sebuah buku yang bertajuk Kejaiban Hafalan Bimbingan Bagi Mereka Yang Ingin Menghafal Al-Qur’an yang diterjemahkan daripada sebuah kitab arab karya Abdul Qoyyum bin Muhammad bin Nashir As-Sahaibani dan Muhammad Taqiyul Islam Qaariy, bahawa telah berkata Jamaluddin As-Sarmadi: “Di antara keajaiban pada masa ini dalam masalah hafalan adalah Ibnu Taimiyyah. Dahulu, dia menelaah satu kitab sekali sahaja, maka telah terpateri di dalam benaknya.” Sememangnya kemampuan yang dimiliki oleh Ibnu Taimiyyah itu adalah satu perkara yang menakjubkan bagi saya!

Sebagai seorang yang minat membaca, saya selalu berharap saya mampu menguasai apa yang terkandung dalam buku dengan hanya sekali bacaan sahaja, sebagaimana sebahagian ulama pada zaman dahulu. Saya percaya, di luar sana tidak sedikit daripada kalangan pencinta buku yang mempunyai keinginan yang sama seperti saya itu.

Namun, hakikatnya diri saya hanyalah insan biasa, bukanlah genius dan sedemikian hebat; mampu menguasai isi yang hendak disampaikan dalam sebuah buku dengan sekali bacaaan semata-mata. Terkadang selepas membaca sebuah buku, saya seakan-akan tidak begitu ingat apa yang telah saya baca, bak kata orang ‘masih kabur’. Mungkin anda pun memiliki masalah yang sama.

Namun itu bukanlah penghalang untuk saya untuk terus membaca dan membuat saya putus asa sehingga berhenti membaca.

Adalah menjadi kebiasaan saya sebelum ini, apabila telah selesai membaca buku dengan sekali bacaan, maka saya tidak akan mengulangi untuk membaca buku berkenaan daripada muka surat pertama sehinggalah ke muka surat yang terakhir, kerana saya beranggapan perkara itu adalah perbuatan membuang masa. Itulah sikap saya sebelum ini. Satu “mind set” sebenarnya perlu dinilai semula.

Baru-baru ini saya membaca sebuah buku bertajuk Kelebihan dan Keutamaan Menuntut Ilmu, yang asalnya sebuah kitab arab bertajuk Kaifa Tatahammas Li Thalabil ‘Ilmi Syar’ie karya Abul Qa’qa Muhammad bin Shalih, kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa melayu. Di dalam buku berkenaan dimuatkan 102 metode bagaimana untuk memotivasikan seseorang dalam menuntut ilmu syar’ie yang dicedok daripada kehidupan para ulama Islam.

Dan antara perkara yang saya dapat jadikan iktibar daripada buku berkenaan, kejayaan tidak akan datang bergolek dan manusia tidak akan memperolehi ilmu dengan bersenang-senangan. Apatah lagi bermalas-malasan!

Sebagai mana kata-kata seorang ulama, ilmu itu tidak akan diperolehi dengan tubuh yang bersenang-senangan dan bermalasan-malasan.

Sekiranya ingin menguasai apa yang terkandung dalam sebuah buku, maka kita tidak boleh bosan untuk membaca sebuah buku berulang kali. Usaha membaca berulang kali perlu dilakukan, barulah apa yang kita baca dapat kita kuasai dan fahami dengan sebaiknya. Inilah yang dilakukan oleh para ulama terdahulu.

Saya percaya, diluar sana ada ramai sudah maklum dan faham perkara ini dan tidak perlu untuk saya beritakan. Namun, bukanlah tujuan utama saya untuk memberitakan yang sedemikian, tetapi yang pertama sekali, saya tujukan penulisan ini buat diri saya sendiri. Semoga saya tidak mudah melupakannya.

Insya’ Allah, seterusnya saya akan sebutkan sedikit contoh mengenai sikap para ulama dalam usaha membaca sebuah kitab berulang-ulang kali.

Abul Qa’qa Muhammad bin Shalih menyatakan dalam bukunya Kaifa Tatahammas Li Thalabil ‘Ilmisy Syar’ie: Imam An-Nawawi ketika menulis biografi Imam Abdul Ghafir bin Muhammad Al-Farisi, telah berkata: “Al-Hafiz Al-Hasan As-Samarqandi membaca Sahih Muslim lebih daripada 30 kali. Dan Abu Sa’id Al-Buhairi membaca Sahih Muslim di hadapannya lebih daripada 20 kali.”

Disebutkan lagi dalam buku berkenaan, seorang ulama yang bernama Abu Bakar Al-Abhari, telah membaca kitab Mukhtasar Ibnu Abi Hakam sebanyak 500 kali, As-Asadiyah sebanyak 75 kali, Mukhtasar Al-Barqi sebanyak  70 kali, Al-Mabsuth sebanyak 70 kali dan Al-Muwaththa karya Imam Malik sebanyak 45 kali.

Dr. ‘Aid Abdullah al-Qarni menyatakan dalam kitabnya Miftahun Najah  yang telah diterjemahkan dengan tajuk Kunci Kejayaan Minda, seorang alim daripada Andalusia telah mengkhatamkan bacaan Sahih Bukhari sebanyak 700 kali dan anak murid Imam Asy-Syafi’e, iaitu Al-Muzani telah mengkhatamkan bacaan kitab Ar-Risalah karya gurunya itu sebanyak 500 kali!

Sekian sahaja penulisan yang serba ringkas ini, semoga ianya akan memberikan manfaat terutamanya kepada diri saya sendiri, seterusnya kepada anda yang membaca penulisan ringkas ini.

Akhir sekali saya tinggalkan anda dengan kata-kata seorang bloggers wanita daripada jomsewabuku.blogspot.com dengan katanya: “Saya ingin anda membaca dan terus mengulangi dan mengulanginya sehinggalah buku itu lusuh!”

Wallahu ‘alam.

Rujukan:
  • Dr. ‘Aid Abdullah Al-Qarni, Miftahun Najah (Edisi Terjemahan: Kunci Kejayaan Minda, Penterjemah: Abdul Arham Mat), Telaga Biri Sdn. Bhd, Cetakan pertama, 2008.
  • Abul Qa’qa Muhammad bin Shalih, Kaifa Tatahammas Li Thalabil ‘Ilmisy Syar’ie (Edisi Terjemahan: Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu, Penterjemah: Nurul Mukhlisin), Crescent Sdn. Bhd, 2010.
  • Abdul Qoyyum bin Muhammad bin Nashir As-Sahaibani dan Muhammad Taqiyul Islam Qaariy, Keajaiban Hafalan Bimbingan Bagi Yang Ingin Menghafal Al-Qur’an (Penterjemah: Ummu Abbas), Pustaka Al-Haura’, Cetakan kedua, 1430 Hijriah.
  • Jomsewabuku.blogspot.com.

Muqaddimah

Assalamu'alaikum w.b.t...

Selamat datang dan salam perkenalan buat pengunjung yang memasuki laman blog ini. Nama saya Suhili bin Nain, berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Ini merupakan laman blog peribadi saya. Insya' Allah, daripada laman ini saya akan berkongsi kepada anda segala maklumat yang berkaitan buku, kehidupan dan hikmah kehidupan.

Semoga kehadiran anda di blog ini akan beroleh manfaat dan tidak keluar dengan tangan kosong.


Sekian, terima kasih.
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular