Rabu, 7 Disember 2011

Salah Faham Hadis Zikir “Subhanallahi wa bihamdihi”.

Penulis: Suhili bin Nain.
Terjemahan Jami al-Ulum wa al-Hikam, 4 jilid kesemuanya, terbitan Pustakan Salam


مَنْ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ حُطَّتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ
“Barang siapa mengucap “Subhanallahi wa bihamdihi” (Ertinya: Maha suci Allah dan pujian bagi-Nya) dalam harinya seratus kali, digugurkan dosa-dosanya, sekalipun ia seumpama buih dilautan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5926)

Kefahaman Sepintas Lalu.
Sekiranya kita membaca hadis di atas secara sepintas lalu, sudah tentu kita akan berpendapat bahawa dosa yang digugurkan di dalam hadis di atas adalah meliputi segala bentuk dosa, sama ada dosa kecil atau pun dosa besar, meskipun ianya sebanyak buih dilautan.
Namun sudah benarkah kefahaman kita berkenaan hadis di atas?
Hakikatnya, apabila kita telusuri perbincangan para ulama berkenaan hadis-hadis yang menyatakan amalan-amalan yang penghapus dosa, seperti mana hadis di atas, hadis-hadis tersebut bukanlah seperti mana yang kita fahami secara sepintas lalu di atas.

Kefahaman Salafus Soleh.
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menyatakan sebuah pendapat dalam kitabnya, Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, yang dinukil daripada Imam Ibnu Abdil Bar dalam at-Tamhid, bahawa dosa yang terhapus melalui amalan-amalan soleh (seperti zikir, solat, puasa dan sebagainya- pen) hanyalah merujuk kepada dosa kecil. Ada pun bagi dosa-dosa besar, ianya tidak terampun melainkan dengan melakukan taubat kepada Allah s.w.t. Pendapat ini disandarkan kepada ‘Atha dan ulama Salaf yang lain. Begitu juga dengan Salman al-Farisi.
         Imam Ibnu Abdil Bar berhujahkan beberapa buah hadis, antaranya:
الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
“Sembahyang lima waktu, solat jumaat hingga solat jumaat dan puasa ramadhan hingga puasa ramadhan (yang berikutnya – pen) merupakan penghapus kepada dosa-dosa yang dilakukan antaranya, selagi dosa-dosa besar dijauhi.” (Shahih Muslim, no.344. Shahih Ibnu Hibban, no. 1763)
Ibnu Atiyyah dalam kitab tafsirnya membawa dua pendapat ulama dalam tentang maksud hadis (Shahih Muslim, no.344. Shahih Ibnu Hibban, no. 1763) ini.
·         Pertama:  Dosa besar menjadi syarat dihapuskan dosa kecil dengan amalan fardhu. Jika dosa besar tidak dijauhi, amalan fardhu sama sekali tidak menghapuskan mana-mana dosa.
·         Kedua: Amalan fardhu menghapuskan dosa-dosa kecil secara mutlak dan tidak menghapuskan dosa-dosa besar jka ada. Tetapi dengan syarat dosa kecil tidak dilakukan secara berterusan.
Ibnu Atiyyah memilih tafsiran yang kedua sebagai pendapat yang lebih tepat.

Akibat Tersalah Faham.
Sesetengah orang apabila membaca hadis di atas, mereka memahami hadis tersebut sekadar itu sahaja. Akibatnya mereka tersalah faham tentang dosa yang dihapuskan dalam hadis di atas. Lalu akibat berikutnya, mereka pun tanpa rasa bimbang meninggalkan perintah solat lima waktu dan berpuasa, malah melakukan dosa-dosa yang keji seperti zina, bunuh orang, minum arak, dan sebagainya. Ini kerana, mereka beranggapan cukup dengan hanya sekadar mengucapkan zikir di atas sebanyak seratus kali, mereka sudah pun dapat membersihkan diri mereka daripada dosa dan selamat di akhirat.

Kesimpulan.
Maksud dosa yang diampunkan dalam hadis di atas dan hadis yang seumpamanya, hanya merupakan kepada dosa kecil. Mengucapkan kalimah zikir seperti hadis di atas tidak memadai bagi menghapuskan semua dosa yang kita lakukan. Ada pun bagi dosa besar, maka ianya memerlukan kita untuk melakukan taubat kepada Allah s.w.t. Wallahu ‘alam.

Rujukan:
·         Shahih Al-Bukhari, Maktabah Syamelah.
·         Shahih Muslim, Maktabah Syamelah.
·         Sahih Ibnu Hibban, Maktabah Syamelah.
·         Terjemahan Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, terbitan Pustaka Salam.


1 comments:

maza berkata...

terima kasih di atas pencerahan ini...

bagi maza ia amat berguna terutama menghapuskan kekeliruan..

apa2 hal pun, maza amat berharap agar segala dosa dan taubat maza diterima Allah SWT dan tergolong dlm org2 mendapat keuntungan dari-Nya.. Ameen ya rabal alamin...

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular