Selasa, 25 Oktober 2011

Jalan-jalan di Kedai Buku.

Oleh: Suhili bin Nain


Gambar ini diambil pada 22 Oktober 2011, bersamaan hari Sabtu. Gamar daripada dua buah kedai buku, kedai buku Popular dan Eaton's yang terletak di Centre Point, Kota Kinabalu.
^

Jumaat, 14 Oktober 2011

Buku Teragung & Terhebat.


Oleh: Suhili bin Nain

 
Pencinta buku lazimnya mengumpul buku yang banyak, dan menghabiskan masa kebanyakannya dengan membaca buku. Ketika membaca buku, akan terasa bahagia dan tenanglah jiwa dan perasaan.

Pada kali ini, saya ingin mengajak kepada para pencinta buku sekalian, untuk berbicara mengenai sebuah buku (kitab) yang cukup agung. Walau betapa banyak, hebat dan banyaknya buku yang anda temui sehingga berjilid-jilid lalu anda baca, semua buku itu tidak akan mampu sebuah buku (kitab) yang hanya berjumlah sejilid ini. 

Ketahuilah, buku (kitab) yang saya maksudkan di sini adalah kitab Al-Qur'an.

Sebanyak mana pun buku yang kita baca, dan sehebat mana pun buku yang kita baca, ianya tidak akan mengandungi manfaat yang terkandung di dalam kitab Al-Qur'an. Ini kerana, kitab Al-Qur'an, bukanlah ciptaan dan tulisan manusia, melainkan ianya adalah kalam Allah Subhanahu wa Ta'ala dan bukannya makhluk. Ianya berasal daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang Maha Sempurna. Oleh itu, padanya tiada cacat-cela dan kekurangan sedikit pun.

Al-Qur'an adalah wahyu dan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wassalam melalui perantaraan malaikat Jibril 'Alaihissalam.

Wahyu pertama yang diturunkan adalah surah Al-'Alaq; ayat 1-5 yang berbunyi:

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ (١) خَلَقَ الإنْسَانَ مِنْ عَلَقٍ (٢) اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأكْرَمُ (٣) الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ (٤) عَلَّمَ الإنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ (٥)


"Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan (sekalian makhluk), ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." [Surah Al-'Alaq: 1-5]

Al-Qur'an adalah sumber dan dasar bagi agama Islam. Ianya mengandungi petunjuk dan hidayah menuju Allah Subhanahu wa Ta'ala. Di dalam Al-Qur'an terdapat sumber segala ilmu pengetahuan, sama ada ilmu yang berkaitan dengan dunia atau pun akhirat.


Telah berkata Abdullah bin Mas'ud di dalam sebuah athar yang sahih dengan katanya:


من أراد العلم فليثور القرآن ، فإن فيه علم الأولين والآخرين

"Siapa yang mahukan ilmu maka hendaklah dia mengkaji Al-Qur'an, sesungguhnya didalamnya ilmu generasi yang awal dan yang akhir."
[Diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam Syu'ab Al-Iman, Ath-Thabrani dalam Mu'jam Al-Kubra, Abi Syaibah dalam Musannaf Abi Syaibah. Diriwayatkan oleh Al-Haithami dalam Majma' Az-Zawaid, berkata beliau: Dengan banyak sanad, perawi-perawi salah satu sanadnya adalah Shahih. Sumber Dorar.net]

Renungilah wahai para pencinta buku, sekiranya kita mampu membaca buku beratus muka surat dalam masa sehari, tanpa merasa jemu. Sedangkan para masa yang sama, kita mengesampingkan bacaan Al-Qu'ran itu adalah satu kecacatan bagi pencinta buku.

Jika kita membaca sirah dan kisah kehidupan para Salafus soleh terdahulu, kita pasti akan mendapati betapa mereka mementingkan membaca Al-Qur'an, mengkhatamkannnya dan memahaminya.

Bacalah Al-Qur'an. Sesungguhnya, tiadalah yang membacanya melainkan akan mendapatkan manfaat. Seterusnya renungilah apa yang terkandung di dalamnya dengan membaca tafsirnya berdasarkan pemahaman para ulama Salafus soleh yang diriwayatkan di dalam kitab-kitab tafsir terkenal seperti tafsir Jami' al-Bayan karya Ibnu Jarir At-Tabari, Tafsir Al-Qur'an Al-'Adzim karya Ibnu Kathir dan kitab-kitab tafsir bil ma'tsur yang lain...

P/S: Tidak sempurna kecintaan terhadap buku, selagi tidak mencintai Al-Qur'an.



Selasa, 11 Oktober 2011

Ulasan Buat Pembaca Buku "Pesanan Buat Diri".

 
Oleh: Suhili bin Nain.




Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala. Tujuan penulisan kali ini adalah ulasan untuk para pembaca karya pertama saya, buku Pesanan Buat Diri. 10 Oktober 2011, lebih sebulan selepas kali pertama buku Pesanan Buat Diri diterbitkan adalah kali pertama saya melihat buku tersebut yang telah dicetak. Saya membelinya secara online daripada PTS Islamika sendiri.

Pertama kali, saya melihat buku tersebut, sejujurnya saya merasa terkejut dengan apa yang berlaku kepada buku tersebut. Ianya cukup berbeza dengan edisi asal. Tidak dapat dinafikan susunan "layout" yang dibuat oleh editor adalah cukup menarik, namun begitu ada perkara lain yang berlaku.

Tidak seperti versi asal yang ada pada saya, versi cetakan tersebut saya melihat beberapa perubahan besar. Pertama, segala nota kaki yang ada pada edisi asal telah dibuang. Kedua, segala teks arab yang ada pada buku tersebut dibuang 100%. Ketiga, segala darjat hadis yang disebutkan dalam buku tersebut telah dibuang sama sekali.
6
Buku Pesanan Buat Diri sudah berada di Kota Kinabalu. Kedai buku yant terletak di Wawasan Plaza.
Sebagai penulis, saya berpandangan baik. Mungkin pihak editor ingin membuatkan buku Pesanan Buat Diri hadir dalam bentuk santai kepada pembaca.

Pada penulisan ini, saya hanya ingin memaklumkan kepada para pembaca, meskipun buku Pesanan Buat Diri yang berada di tangan anda tidak mempunyai rujukan lengkap dan nota kaki, isi kandungannya adalah terpelihara menurut pemerhatian penulis. Ianya tidak ditulis secara semberono sahaja, tetapi setiap ucapan ulama di dalam buku tersebut mempunyai rujukannya yang jelas.

Manakala tentang darjat setiap hadis dalam buku Pesanan Buat Diri, para pembaca tidak perlu bimbang. Ini kerana, kesemua hadis yang disebutkan dalam buku tersebut adalah shahih atau pun hasan. Tiada satu hadis pun dalam yang digunakan dalam buku tersebut, melainkan ada ulama tertentu yang menerima hadis tersebut dengan shahih atau hasan. Wallahu 'alam.

Selamat membaca buku Pesanan Buat Diri... ^_^

P/S: Kepada anda yang telah membaca buku Pesanan Buat Diri, dialu-alukan untuk memberikan pandangan, komen dan cadangan kepada penulis berkenaan mesej dalam buku berkenaan. Sila ke ruang komen di bawah. @_@

Kepada yang belum membaca buku Pesanan Buat Diri, jangan tunggu lama-lama, dapatkan segera di kedai buku berdekatan anda, sementara stok masih ada! Kalau dah habis stok dapatkan segera di bookcafe (kedai buku online PTS) sebelum kehabisan digudang PTS Islamika! ^_^

Semoga buku Pesanan Buat Diri bermanfaat buat diri saya dan anda.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular