Jumaat, 16 Disember 2011

Sasterawan Negara; Abdullah Hussain Memuji Golongan Kaum Muda.

Penulis: Suhili bin Nain.


Semenjak dilancarkan blog Cerpen Dakwah, saya mula berceburkan diri dalam bidang penulisan sastera cerpen. Pada asalnya niat saya menulis cerpen hanyalah sekadar suka-suka atau untuk mengisi masa lapang, namun tanpa disangka semakin lama saya menulis, saya menjadi semakin tertarik dengan cerpen dan sastera. Saya tertarik dengan keindahan bahasa para ahli-ahlinya serta kisah yang digarap oleh mereka. Malah beberapa ketika kebelakangan ini saya telah mula membeli dan membaca buku-buku yang berkaitan dengan sastera, khususnya teknik penulisan cerpen dan penulisan kreatif serta tentang sasterawan negara.
          Antara buku yang saya beli adalah buku Proses Kreatif Satu Pengalaman Rohani karya Sasterawan Negara, Abdullah Hussain. Dalam buku tersebut beliau berkongsi dengan para pembacanya, bagaimana proses terhasilnya novel dan cerpen yang telah dikarang oleh beliau. Dan perkara yang amat berharga dikongsikan oleh beliau adalah pengalamannya dalam dalam bidang penulisan dan kehidupan.
          Kisah hidup tokoh sastera ini mempunyai banyak kejutan yang tidak disangka-sangka, dan kelmarin sekali lagi tokoh ini mengejutkan saya dan membuat saya terharu, apabila saya mendapati sasterawan yang baru saya kenali ini rupanya menerima dakwah tajdid dan manhaj Salaf. Beliau menerima baik dan meminati tokoh-tokoh tajdid dan Islah Nusantara dan merupakan pembaca setia majalah yang diterbitkan oleh tokoh-tokoh tersebut.
Beliau menyatakan dalam bukunya di atas ini:
"... Secara kebetulan minat saya pada agama sedang tumbuh pada masa itu, sesudah berkenalan dengan ulama-ulama reformasi di Pulau Pinang. Dia membenarkan saya membawa pulang ke Sungai Limau majalah-majalah Pembela Islam lidah rasmi Persatuan Islam Bandung (PERSIS) yang kemudian digantikan dengan Al-Lisan apabila majalah itu diharamkan oleh Belanda kerana polemik yang hebat dengan paderi Kristian tentang Nabi Muhammad SAW dan Jesus Kritus.
Saya suka dengan pelbagai polemik  yang sering kali menjadi topik utama kedua-dua majalah tersebut tentang masalah khilafiah yang menjadi pertelingkahan pendapat seperti isu usalli waktu memulakan solat dan isu tali leher atau 'nektai' dengan ( yakni oleh - penukil) HAMKA. Hujah dan Jawapan yang disampaikan oleh A. Hassan (dikenali juga dengan Hassan Bandung - pen) pemimpin Persatuan Islam Bandung yang selalu menggunakan Istilah A.H itu cukup hebat tidak saja terlawan oleh orang yang berpolemik dengannya, tetapi boleh membuka mata kita kepada masalah-masalah agama yang rumit. A. Hassan walaupun terkenal dengan ketegasannya tetapi amat terbuka sikapnya kepada kebenaran. Majalah Pembela Islam dan Al-Lisan ini diharamkan oleh kerajaan Kedah kerana dianggap bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Waljmaah. Barang siapa yang memiliki atau mengedarnya akan dikenakan denda dan penjara. Tetapi majalah itulah yang telah membuka mata saya tentang soal agama.
Walaupun saya tidak menjadi ahli Persatuan Islam Bandung, tetapi dalam diam-diam saya menjadi pembaca Al-Lisan yang setia, lebih-lebih lagi apabila mengetahui aliran itulah pula yang menjadi pegangan Syeikh Abdullah al-Maghribi, Ibrahim Aqiby, Abu Bakar Asy-Syaari (daripada – pen) Perlis dan tokoh-tokoh terdahulu daripada mereka seperti Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Za’ba dan sebagainya. Saya mulai bersifat kritis terhadap beberapa amalan bid’ah dan khurafat yang terdapat di kampung dan mulai bertukar-tukar pendapat dengan Abdul Razak Haji Awang, imam masjid Sungai Limau, yang juga berpangkat bapa saudara saya...” (Sekian nukilan daripada muka surat 40-41 dengan sedikit perubahan)
Daripada kata-kata beliau di atas, jelas bahawa beliau tidak sehaluan dengan apa yang disebutkan oleh kerajaan Kedah ketika itu.
Saya berpandangan sastera adalah salah satu medium yang baik untuk menyebarkan manhaj Salaf dan memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang Islam yang murni. Usaha tersebut adalah tergolongan dalam dakwah bil khitabah (dakwah melalui penulisan).
Saya melihat para pendokong-pendokong firqah lain seperti Syi’ah, Tareqat menyeleweng, golongan Liberal, Hedonisme serta banyak lagi, sedang menggunakan medium ini untuk menyebarkan dan menyuburkan fahaman mereka dalam masyarakat. Saya rasa, tidak ada salahnya sekiranya kita sebagai pendokong manhaj Salaf mengorak langkah untuk menggunakan sastera sebagai medium dakwah, seperti sajak, puisi, cerpen dan novel selagi mana ianya tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Wallahu ‘alam.


Rabu, 7 Disember 2011

Salah Faham Hadis Zikir “Subhanallahi wa bihamdihi”.

Penulis: Suhili bin Nain.
Terjemahan Jami al-Ulum wa al-Hikam, 4 jilid kesemuanya, terbitan Pustakan Salam


مَنْ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ حُطَّتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ
“Barang siapa mengucap “Subhanallahi wa bihamdihi” (Ertinya: Maha suci Allah dan pujian bagi-Nya) dalam harinya seratus kali, digugurkan dosa-dosanya, sekalipun ia seumpama buih dilautan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5926)

Kefahaman Sepintas Lalu.
Sekiranya kita membaca hadis di atas secara sepintas lalu, sudah tentu kita akan berpendapat bahawa dosa yang digugurkan di dalam hadis di atas adalah meliputi segala bentuk dosa, sama ada dosa kecil atau pun dosa besar, meskipun ianya sebanyak buih dilautan.
Namun sudah benarkah kefahaman kita berkenaan hadis di atas?
Hakikatnya, apabila kita telusuri perbincangan para ulama berkenaan hadis-hadis yang menyatakan amalan-amalan yang penghapus dosa, seperti mana hadis di atas, hadis-hadis tersebut bukanlah seperti mana yang kita fahami secara sepintas lalu di atas.

Kefahaman Salafus Soleh.
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menyatakan sebuah pendapat dalam kitabnya, Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, yang dinukil daripada Imam Ibnu Abdil Bar dalam at-Tamhid, bahawa dosa yang terhapus melalui amalan-amalan soleh (seperti zikir, solat, puasa dan sebagainya- pen) hanyalah merujuk kepada dosa kecil. Ada pun bagi dosa-dosa besar, ianya tidak terampun melainkan dengan melakukan taubat kepada Allah s.w.t. Pendapat ini disandarkan kepada ‘Atha dan ulama Salaf yang lain. Begitu juga dengan Salman al-Farisi.
         Imam Ibnu Abdil Bar berhujahkan beberapa buah hadis, antaranya:
الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
“Sembahyang lima waktu, solat jumaat hingga solat jumaat dan puasa ramadhan hingga puasa ramadhan (yang berikutnya – pen) merupakan penghapus kepada dosa-dosa yang dilakukan antaranya, selagi dosa-dosa besar dijauhi.” (Shahih Muslim, no.344. Shahih Ibnu Hibban, no. 1763)
Ibnu Atiyyah dalam kitab tafsirnya membawa dua pendapat ulama dalam tentang maksud hadis (Shahih Muslim, no.344. Shahih Ibnu Hibban, no. 1763) ini.
·         Pertama:  Dosa besar menjadi syarat dihapuskan dosa kecil dengan amalan fardhu. Jika dosa besar tidak dijauhi, amalan fardhu sama sekali tidak menghapuskan mana-mana dosa.
·         Kedua: Amalan fardhu menghapuskan dosa-dosa kecil secara mutlak dan tidak menghapuskan dosa-dosa besar jka ada. Tetapi dengan syarat dosa kecil tidak dilakukan secara berterusan.
Ibnu Atiyyah memilih tafsiran yang kedua sebagai pendapat yang lebih tepat.

Akibat Tersalah Faham.
Sesetengah orang apabila membaca hadis di atas, mereka memahami hadis tersebut sekadar itu sahaja. Akibatnya mereka tersalah faham tentang dosa yang dihapuskan dalam hadis di atas. Lalu akibat berikutnya, mereka pun tanpa rasa bimbang meninggalkan perintah solat lima waktu dan berpuasa, malah melakukan dosa-dosa yang keji seperti zina, bunuh orang, minum arak, dan sebagainya. Ini kerana, mereka beranggapan cukup dengan hanya sekadar mengucapkan zikir di atas sebanyak seratus kali, mereka sudah pun dapat membersihkan diri mereka daripada dosa dan selamat di akhirat.

Kesimpulan.
Maksud dosa yang diampunkan dalam hadis di atas dan hadis yang seumpamanya, hanya merupakan kepada dosa kecil. Mengucapkan kalimah zikir seperti hadis di atas tidak memadai bagi menghapuskan semua dosa yang kita lakukan. Ada pun bagi dosa besar, maka ianya memerlukan kita untuk melakukan taubat kepada Allah s.w.t. Wallahu ‘alam.

Rujukan:
·         Shahih Al-Bukhari, Maktabah Syamelah.
·         Shahih Muslim, Maktabah Syamelah.
·         Sahih Ibnu Hibban, Maktabah Syamelah.
·         Terjemahan Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, terbitan Pustaka Salam.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular