Jumaat, 26 Ogos 2011

Dari Mata Turun ke Hati.

Oleh: Suhili bin Nain.


Apa khabar para pengunjung sekalian? Semoga anda berada dalam keadaan sihat wal afiat dan sentiasa berada dalam rahmat dan petunjuk Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Pertama sekali sebelum meneruskan penulisan lebih lanjut, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur dan pujian kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, "Alhamdulillahi rabbil 'alamin." kerana telah memberikan banyak limpah kurnia nikmatnya kepada kita selama ini, sama ada daripada segi rohani mahu pun jasmani. Dan sesungguhnya, sebesar-besar nikmat Allah Subhanahu wa Ta'ala itu adalah nikmat hidayah iman dan Islam.

Cinta dan Rindu Menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah, terjemahan daripada kitab Raudhatul Muhibbin karya Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.

Pada pertemuan kali ini, penulis akan membawa satu penjelasan yang bertajuk, "Dari mata turun ke hati!". Ini adalah kesinambungan daripada artikel yang lepas, iaitu "Pesanan Buat Insan Yang Ingin Berhenti Jatuh Cinta?", yang mana dalam pertemuan yang lepas itu penulis telah menyatakan terdapat beberapa perkara yang akan mengakibatkan berkobarnya penyakit mabuk cinta di dalam jiwa manusia. Antara salah satunya adalah membebaskan pandangan, dan inilah yang akan penulis perbahaskan pada kali ini.

Hukum Memandang.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman dalam Al-Qur'an yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka..." (Surah An-Nur: 30-31)

Menurut Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, pengharaman memandang di dalam ayat ini, bukanlah menunjukkan pengharaman secara mutlak. Tetapi memandang di sini adalah diharamkan apabila ianya menjadi sarana kepada kepada perkara yang haram, dan ianya hanya dibolehkan sekiranya mempunyai kemaslahatan.

Di dalam kitab Fiqhul Manhaji 'Ala Mazhabil Imam Asy-Syafi'e, bab Munakahat, dijelaskan lelaki yang baligh, berakal, tidak dalam keadaan terpaksa, sama ada tua atau lemah serta lelaki yang hampir baligh haram melihat mana-mana anggota badan perempuan dewasa yang bukan mahram (yakni wanita yang boleh dikahwini). Maksud perempuan dewasa ialah perempuan yang boleh menaikkan nafsu syahwat walaupun belum baligh.

Lelaki itu juga tidak boleh melihat wanita tersebut walaupun muka dan tapak tangan, sekalipun pandangan itu tidak menimbulkan fitnah menurut pendapat yang sahih di dalam mazhab Syafi'e. Begitu juga sebaliknya, perempuan diharamkan melihat lelaki bukan mahramnya tanpa tujuan.

Dinyatakan juga, seorang lelaki atau perempuan bukan mahram hanya boleh melihat antara satu sama lain di dalam beberapa keadaan sahaja, iaitu:
  1. Keperluan perubatan. Melihat itu hanya sekadar kawasan yang memerlukan rawatan sahaja. Seorang doktor lelaki dibolehkan untuk merawat pesakit wanita hanya apabila keadaan mendesak/darurat dan tiada doktor wanita yang boleh mengubatinya, begitulah sebaliknya. Bagi wanita yang dirawat doktor lelaki, dia mestilah ditemani mahramnya atau suaminya, atau kehadiran wanita yang lain yang dipercayai.
  2. Ketika berjual-beli, iaitu apabila ada keperluan untuk wanita tersebut dan dia tidak dapat dikenali dengan dilihat.
  3. Untuk penyaksian, sama ada ketika menjadi saksi atau ketika memberikan keterangan kerana penyaksian tidak sempurna tanpa melihat kepada tertuduh dan pendakwa.
  4. Ketika sesi pembelajaran, iaitu belajar atau mengajar perkara yang wajib atau sunat dipelajari kerana ilmu itu berfaedah di sisi syara'.
  5. Keadaan darurat dan keperluan sekadar untuk menghilangkan kesusahan dan mendatangkan kemaslahatan. (Dinukil daripada Kitab Fekah Mazhab Syafi'e, jilid 4, halaman 774-776 dengan beberapa perubahan)

Apabila Mata Sudah Terpanah.


Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam bersabda yang bermaksud:

"Aku tidak meninggalkan fitnah yang lebih aku bimbangi ke atas orang lelaki, selain daripada wanita." (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, At-Tirmizi, An-Nasaie dan Ibnu Majah)

Disebutkan dalam Ash-Shahih bahawa Al-Fadhl bin Abbas Radhiallahu 'anhu pernah membonceng Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam pada saat perlaksanaan korban, daripada Muzdalifah hingga ke mina. Tiba-tiba ada beberapa unta yang dinaiki wanita sedang lalu, seketika itu Al-Fadhl memandang mereka. Lalu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam memalingkan kepalanya kearah lain.

Pernah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam berpesan kepada Ali bin Abi Thalib Radhiallahu 'anhu yang bermaksud:

"Wahai Ali, janganlah engkau susuli pandangan dengan pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bahagianmu, yang yang kedua bukan lagi menjadi bahagianmu (dosa atasmu)." (Diriwayatkan Ahmad, At-Tirmizi dan Abu Daud. Syaikh Al-Albani dalam Sahih Targhib wa At-Tarhib menyatakan darjatnya, hasan lighairihi).

Berkata Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah:

"Allah menjadikan mata sebagai cermin hati. Jika seseorang menahan pandangan matanya bererti dia menahan syahwatnya dan keinginan hatinya. Jika dia membebaskan pandangan matanya, bererti dia membebaskan syahwat dalam hatinya."

Beliau berkata lagi:

"Pandangan akan menyusup ke dalam hati seperti anak panah yang meluncur saat dilepaskan. Jika tidak  membunuh, tentu anak panah itu akan mencederakan. Atau pandangan itu seperti bara api yang dilemparkan ke dahan-dahan kering. Jika tidak membakar semuanya, tentu ia akan membakar sebagian diantaranya. Dikatakan dalam sebuah syair,

"Segala peristiwa berawal daripada pandangan mata,
Jilatan api bermula daripada setitik bara,
Berapa banyak pandangan mata yang membelah hati,
Laksana panah yang dilepaskan daripada tali,
Selagi manusia masih memiliki mata untuk memandang,
Dia tidak akan lepas daripada bahaya yang menghadang,
Senang dipermulaan dan ada bahaya dikemudian hari,
Tiada ucapan selamat datang dan ada bahaya saat kembali." (Dinukil daripada buku Cinta dan Rindu Menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah, halaman 69-76, secara terpisah-pisah dengan beberapa perubahan).

Sekian perkongsian pada kali ini, semoga ianya memberikan manfaat kepada penulis dan para pengunjung sekalian.
Wallahu 'alam.

Rujukan:
  • Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji, Kitab Fekah Mazhab Syafi'e bahagian Munakahat, jilid 4, (Terjemahan daripada Fiqhul Manhaji 'Ala Mazhabil Imam Asy-Syafi'e), terbitan Pustaka Salam, cetakan Disember 2005.
  • Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, Cinta dan Rindu Menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah (Terjemahan daripada kitab Raudhatul Muhibbin), terbitan Crescent News, Cetakan 2010.

Selasa, 23 Ogos 2011

Pesanan Buat Insan Yang Ingin Berhenti Jatuh Cinta?

Oleh: Suhili bin Nain.

At-Taubah Wadziifahul Umur karya Syaikh Muhammad bin Ibrahim al-Hamd telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia oleh Pustaka Imam Asy-Syafi'i.
Jatuh cinta. Satu perkara berbentuk perasaan yang yang menurut pandangan penulis, tiada manusia yang akan terlepas daripadanya, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menciptakan fitrah ke atas manusia perasaan cinta, sama ada ingin dicintai atau ingin mencintai.

Jatuh cinta adalah sesuatu yang tidak salah, kerana ianya perkara yang benar di sisi syara’ selagi mana usaha untuk mendapatkan yang dicintai itu selaras dengan kehendak syara’ dan tidak menyanggahinya. Tetapi, di sana ada satu penyakit yang berkaitan cinta yang diperbahaskan oleh para ulama, namanya mabuk cinta atau di dalam bahasa arabnya "Al-‘Isyq".

Mabuk cinta atau "Al-'Isyq" ini adalah suatu keadaan dimana seseorang itu mencintai sesuatu perkara dengan melampaui batas dan norma-norma yang ditetapkan agama. Kecintaan yang keterlaluan dan berlebihan..

Pada penulisan kali ini, penulis akan memperkecilkan skop "Al-‘Isyq" atau mabuk cinta ini hanya merujuk kepada hubungan lelaki dan wanita yang bukan mahram, dan halal untuk menikah.

Berkata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah mengenai penyakit ini dalam kitabnya al-Istiqamah:

Dampak negatif yang diwariskan oleh penyakit ini, seperti lemah akal, lemah ilmu pengetahuan, rusaknya agama dan akhlak, serta terbuai dan lalai terhadap hal-hal yang bermanfaat, baik bagi agama maupun dunia, lebih-lebih berlipat-lipat daripada sisi positif yang didapatkannya.” – Dinukil daripada buku Cara Bertaubat Menurut Al-Qur’an dan As-Sunnah, halaman 237 tanpa sebarang perubahan.

Penulis percaya, di antara sekian orang yang mengalami penyakit mabuk asmara, ada yang mengetahui dan sedar betapa besarnya keburukan penyakit ini. Namun begitu, lantaran lemah dengan godaan hawa nafsu, maka untuk bertaubat daripada bukanlah benda yang mudah.

Seterusnya penulis hanya menukilkan apa yang penulis pernah dicoretkan di Facebook penulis sebelum ini,  dengan beberapa perubahan. Semoga ianya akan bermanfaat sebagai pesanan bagi insan yang ingin berhenti daripada terus jatuh cinta dan tertimpa penyakit mabuk cinta yang melemaskan hati:

Bagi mereka yang ingin berhenti jatuh cinta (biasa antara lelaki dan wanita), tetapi sering kali gagal berhenti daripadanya, terkadang hati berbisik dan tertanya dalam diri, “Mengapalah aku tidak boleh melepaskan diri daripada jatuh cinta?”. Betapa susah pun diusaha untuk menjauhi cinta manusia yang terlarang itu, ternyata kesannya tetap juga melekat di dalam jiwa.

Apabila kita ingin bertaubat daripada penyakit cinta terlarang, mabuk cinta, usaha awal yang perlu kita lakukan adalah menutup jalan atau perkara yang mendorong kita daripada jatuh cinta. Antara jalan yang mendorong dan mampu mengobarkan perasaan untuk jatuh cinta  adalah membebaskan pandangan dan kebiasaan membaca buku, mendengar muzik dan menonton wayang yang bertemakan kecintaan kepada manusia, antara lelaki dan wanita .

Seandainya kita payah untuk melepaskan diri daripada mabuk cinta, perhatikanlah beberapa  perkara yang saya sebutkan di atas. Sekiranya kita tidak mampu melepaskan diri daripada beberapa  perkara tersebut, maka berhenti daripada mabuk cinta itu kebanyakannya hanya mimpi sahaja.

Untuk penjelasan lebih baik, cubalah untuk mendapatkan kitab At-Taubah Wadziifatul ‘Umur karya Syaikh Muhammad bin Ibrahim Al-Hamd…

Wallahu 'alam.

P/S: Terjemahan kitab ini boleh didapati dalam versi lain, melalui tempahan di alamat ini: Taubat Syurga Pertama Anda.

Asalnya penulisan ini sudah tersimpan lama di dalam draf blog, namun sengaja tidak diterbitkan. Dan kini  penulis rasakan merupakan masa yang cukup sesuai untuk menerbitkannya, dan setelah dilakukan beberapa perubahan. Semoga ianya bermanfaat...
^

Sabtu, 6 Ogos 2011

Hikmah Disembunyikan Waktu Ajal Manusia.

Oleh: Suhili bin Nain.


Al-Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menyatakan di dalam kitabnya Miftah Darus Sa'adah, bahawa hikmah disembunyikan pengetahuan mengenai ajal manusia itu adalah disebabkan, apabila manusia mengetahui umurnya begitu pendek dan singkat, maka dia tidak akan dapat menikmati dan menjalani kehidupan di dunia ini dengan sebaiknya. Segala nikmat yang dirasainya, tidak akan dapat dinikmati, kerana dia merasakan hidupnya hanyalah untuk menunggu ajal kematian yang bakal menjemput.

Kitab Miftah Darus Sa'adah sudah ada versi terjemahan dalam bahasa Indonesia terbitan Akbar Media Eka Sarana. Boleh dimuat turun daripada internet.
Ada pun, seandainya manusia itu mengetahui umurnya adalah panjang, maka akan timbul pula kerosakan dimuka bumi. Apabila panjang umurnya, manusia itu akan berfikir untuk melakukan pelbagai kejahatan sementara masih ada waktu, lalu apabila hampir ajalnya, barulah ia hendak bertaubat kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Kedua-dua pemikiran itu, nampaknya begitu negatif bagi kehidupan manusia, sama ada dunia atau pun akhirat. Oleh itu, memahami sikap manusia yang sedemikian rupa, maka Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menetapkan bahawa tiada manusia yang dapat mengetahui ajalnya secara pasti. Dengan itu, manusia akan dapat menikmati kehidupan itu, dalam pada masa yang sama terus berwaspada dan berusaha sebaik mungkin dalam ketaatan.

Wallahu 'alam.

P/S: Penulisan di atas adalah olahan semula daripada perbahasan "Mengapa ada beberapa pengetahuan yang tidak diberikan pada manusia" daripada Kunci Kebahagian, muka surat 478.
^
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular