Sabtu, 16 Julai 2011

Mahar Perkahwinan: Antara Buku dan Wang.

Oleh: Suhili bin Nain.


Di dalam kitab Fiqhul Manhaji 'Ala Mazhabil Imam Asy-Syafi'e, dalam perbahasan Munakahat, dijelaskan bahawa mahar atau pun mas kahwin merupakan satu perkara yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri sebaik sahaja akad nikah berlaku. (Untuk penjelasan lanjut berkaitan mas kahwin atau mahar, sila rujuk kitab tersebut yang telah diterjemahkan dengan tajuk Kitab Fekah Mazhab Syafie, terbitan Pustaka Salam, hal. 809-826)

Mahar, Masyarakat Kita dan Zaman Salafus Soleh.


Dalam masyarakat kita pada hari ini, perkara yang biasa dijadikan mahar dalam sesebuah perkahwinan adalah wang tunai dengan jumlah yang tertentu. Ianya sudah menjadi adat kebiasaan daripada dahulu sehingga kini. Manakala jumlah mahar itu pula bergantung dengan persepakatan di antara keluarga pihak calon lelaki dan perempuan yang akan berkahwin.

 
Sekiranya kita melihat kepada kehidupan mereka yang berada di sekeliling Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam dahulu, dalam persoalan ini, mahar itu tidak diterhadkan dengan wang tunai sahaja. Selain wang tunai mahar juga berupa benda-benda yang dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian seperti baju besi, kasut, cincin besi dan sebagainya.

Pada zaman dahulu, ketika zaman Salafus soleh, mahar perkahwinan ditetapkan berdasarkan kemampuan lelaki yang hendak berkahwin dan kesanggupan pihak perempuan yang hendak dikahwini untuk menerima mahar berkenaan.

Berikut saya akan menyatakan beberapa riwayat yang dinukil daripada kitab Bulughul Maram karya Al-Hafidz Ibn Hajar Al-'Asqalani untuk perkongsian bersama anda sekalian.

Daripada Ibn 'Abbas, ia berkata: 

Tatkala Ali berkahwin dengan Fatimah, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam berkata kepadanya: "Berilah sesuatu kepadanya (yakni mahar – pen). Berkata (Ali): Tiada sesuatu apa pun di sisiku. Berkata (Rasulullah SAW): "Maka manakah dia baju besimu buatan Huthamiyyah." (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Nasai, dishahihkan oleh Al-Hakim).

Daripada 'Abdullah ibn 'Amir bin Rabi'ah, daripada bapanya, bahawa,   
"Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam membolehkan nikah kepada seorang perempuan dengan (mahar) dua kasut. (Diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan disahihkannya).

Daripada Sahl ibn Sa'ad, ia berkata:  

"Nabi Shallallahu 'alaihi wassalam pernah mengahwinkan seorang kepada seorang perempuan dengan (mahar) satu cincin daripada besi." (Diriwayatkan oleh Al-Hakim, Muslim dan Al-Bukhari turut meriwayatkan dalam hadis yang panjang).

Di dalam riwayat Muslim, melalui riwayat Sahl ibn Sa'ad juga, dinyatakan bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam mengahwinkan seseorang dengan maharnya berupa hafazan beberapa surah daripada Al-Qur'an. 

Buku Sebagai Mahar Perkahwinan?

Saya pernah membaca pengalaman yang dikongsikan oleh seseorang di laman web, yang menyatakan bahawa ketika pernikahannya, dia menggantikan mahar yang kebiasaannya berbentuk wang tunai kepada buku. Pada pandangan saya, apa yang beliau lakukan itu sememangnya adalah satu perkara yang cukup menarik.



Berbanding mahar yang berupa wang ringgit, mahar yang berupa buku adalah cukup tinggi nilainya. Wang ringgit sekiranya digunakan akan berkurang, tetapi buku yang berisi ilmu, apabila dibaca ianya akan memberikan manfaat yang berguna dan berpanjangan.

Semua buku sesuai untuk dijadikan mahar, asalkan ianya bermanfaat dan membawa kebaikan. Menurut pandangan saya, buku yang paling sesuai dan elok adalah buku yang bertemakan kekeluargaan, lelaki dan wanita, pendidikan anak-anak dan segala yang berkaitan Baitul Muslim, dengan itu buku itu dapat dimanfaatkan bagi menambah ilmu dalam melayari bahtera rumah tangga demi mendapatkan redha Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Seorang yang memiliki wang ringgit atau harta, maka dia perlu berusaha untuk menjaga serta menguruskan wang tersebut. Tetapi, seseorang yang memiliki ilmu, maka ilmu itulah yang akan menjaga dirinya.

Wang ringgit yang hanya berjumlah beratus ringgit (jumlah kebiasaan mahar dalam masyarakat kita) tidak akan mampu kekal untuk diwarisi selamanya, tidak sampai dalam masa setahun ianya pasti akan habis digunakan untuk keperluan. Berbanding dengan buku, ianya mampu disimpan, dimanfaatkan dan diwarisi selagi ianya dijaga dengan baik.

Sekian sahaja perkongsian serba ringkas daripada saya. Renung-renungkan bersama...

Wallahu 'alam.

P/S: Sambil-sambil berfikir dan merenung, saya jemput para pengunjung sekalian untuk mengunjungi pula blog seorang sahabat untuk membaca beberapa perkara berkaitan pernikahan: Beberapa Perkara Berkaitan Pernikahan.


Terfikir pula bila panjang umur dan dimurahkan rezeki untuk bertemu jodoh mendirikan Baitul Muslim, bercadang hendak gantikan mahar berbentuk wang ringgit dengan buku Islamik yang bermanfaat... ^_^
^

Ahad, 3 Julai 2011

Novel "Di Bawah Lindungan Ka'abah" karya Hamka.

Oleh: Suhili bin Nain 

Nama penuhnya adalah Haji Abdul Malik Karim Amrullah, disingkatkan menjadi Hamka. Siapa yang tidak mengenal Hamka di Nusantara? Seorang insan yang dilahirkan pada 17 Februari 1908 ini akhirnya membesar menjadi salah seorang daripada ilmuan tersohor di Nusantara, dan mengarang pelbagai penulisan yang bermanfaat buat umat Islam, antara karyanya adalah kitab Tafsir Al-Azhar. Pelbagai macam karya dan penulisan yang telah beliau hasilkan dalam bidang agama, untuk membangunkan minda umat yang terlena, menuju pembaharuan dan tajdid.

Lebih hebat daripada itu, bagi mereka yang membaca sejarah hidup tokoh pembaharuan Nusantara ini, beliau bukan sahaja seorang ilmuan agama, tetapi beliau juga merupakan seorang sasterawan yang istimewa. Insya' Allah, pada kali ini saya akan cuba membawa anda mengenali Hamka sebagai seorang ahli sastera, melalui sebuah karyanya yang bertajuk Di Bawah Lindungan Ka'abah.

Dalam setiap karya sastera Hamka, beliau bukan hanya menulis untuk membuai rasa setiap pembaca karyanya. Bahkan, lebih daripada itu Hamka seringkali menyelitkan di dalam setiap sajian sasteranya bermacam pengajaran yang berunsurkan agama.

Di Bawa Lindungan Ka'abah terbitan terbaru oleh Pustaka Dini.
Salah satu karya yang cukup menarik pada pandangan saya, adalah bukunya Di Bawah Lindungan Ka'abah. Kisah di dalamnya cukup meruntun serta mengusik jiwa, dan mampu membuatkan pembaca menitiskan air mata, bagi mereka yang menghayatinya.
Di Bawah Lindungan Ka'abah yang terbit pada tahun 1962, dalam cetakan kedua.
Di Bawah Lindungan Kaa'abah mengisahkan mengenai dua insan, Hamid dan Zainab yang jatuh cinta, datang daripada dua darjat berbeza. Berbeza pada pandangan mata dan penilaian manusia dari segi darjat dan pangkat. Di sini, kita dapat melihat bagaimana pandangan manusia terhadap darjat dan status sosial itu memisahkan dua jiwa, membuatkan kebahagian sepatutnya dikecapi dirampas tanpa belas kasihan.

Berikut adalah sedikit daripada petikan cerita yang disalin daripada bahagian kulit belakang buku, Di Bawah Lindungan Ka'abah.

".... Baru sekarang adinda beroleh berita di mana abang sekarang. Telah hampir dua tahun hilang saja dari mata, laksana seekor burung yang terlepas dari sangkarnya sepeninggal empunya pergi. Kadang-kadang adinda sesali diri sendiri, agaknya adinda telah bersalah besar, sehingga kakanda pergi tanpa memberi tahu lebih dahulu.

Hanya kepada surat abang itu, surat yang hanya sekali itu dinda terima selama hidup, adinda tumpahkan air mata, kerana hanya menumpahkan air mata itulah kepandaian yang paling penghabisan bagi orang perempuan. Tetapi surat itu bisu, meskipun ia telah lapuk dalam lipatan dan telah layu kerana kerap dibaca, rahsia itu tidak juga dapat dibukanya.

Sekarang abang, badan adinda sakit-sakit, ajal entah berlaku pagi hari, entah esok petang, gerak Allah siapa tahu. Besarlah pengharapan bertemu..."


Premis cerita ini adalah klasik, memandangkan masanya adalah sekitar tahun 1927, serta berlandaskan sebuah kisah benar yang berlaku terhadap seseorang yang Hamka kenali.

Bacalah kisah ini, anda pasti tidak akan mengakhiri pembacaan anda dengan kosong, kerana disebalik lembaran kertas itu tertulis hikmah dan pengajaran yang boleh kita renungi bersama...
<
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular