Sabtu, 4 Februari 2012

Garis Panduan Dakwah.

Oleh: Suhili bin Nain.


  • Menurut Kemampuan.
Rasulullah s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kuasa), jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya (perkataan), dan jika tidak mampu hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Diriwayatkan oleh Muslim, no. 49)
Mencegah dengan kekuasaan dan lidah adalah mengikut kemampuan masing-masing, ada pun mengubah dengan hati adalah wajib dalam segala keadaan, kerana ia tidak menimbulkan sebarang kemudaratan.

  • Berdasarkan dengan Ilmu.
Orang yang berdakwah mestilah mempunyai ilmu tentang apa yang didakwahkan olehnya. Firman Allah s.w.t:
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah denga hujah yang nyata (ilmu). Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang yang musyrik.” (Surah Yusuf: 108)

  • Dilakukan Secara Berhikmah.
Seorang yang berdakwah perlu berhikmah dan memiliki kesabaran dalam usahanya. Hikmah di sini adalah meletakkan sesuatu sesuai sebagaimana yang ditetapkan oleh agama.
          Sesetengah orang tersalah dalam memahami berdakwah secara hikmah dengan membolehkan seseorang pendakwah untuk melakukan kemungkaran untuk mendekati sasaran dakwah. Contohnya, ikut duduk bersama sasaran dakwah dengan terlibat berkata perkara yang diharamkan Allah s.w.t dan sia-sia. Mereka berbuat sedemikian untuk membuatkan sasaran dakwah tertarik hati dan menyukakan hati mereka. Mereka tidak berfikir secara bijaksana, bahawa matlamat tidak pernah menghalalkan cara.

  • Tidak Mendatangkan Mudarat Lebih Besar.
Tujuan dakwah adalah untuk mendatangkan maslahat ataupun kebaikan, tetapi apabila kita perhatikan, adakalanya dakwah itu tidak akan menghasilkan maslahat atau kebaikan melainkan ianya akan membuahkan keburukan atau mudarat yang lebih besar. Apabila ini berlaku, maka akan gugurlah kewajipan untuk berdakwah, dan yang wajib adalah mengubah dengan hati sahaja.

  • Adil Terhadap Sasaran Dakwah.
Satu perkara yang perlu adalah bertindak adil terhadap sasaran dakwah. Sasaran dakwah hanya boleh dihukum atas kemungkaran dan kesalahan yang dilakukannya. Menuduh dan menghukum sasaran dakwah dengan satu kesalahan yang tidak dilakukan oleh mereka adalah satu kezaliman.

*Diolah semula daripada satu bahagian kecil dalam buku “Siapakah Ahli Sunnah yang Sebenar?” karya Dr. Azwira.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular