Ahad, 26 Jun 2011

Kecintaan Para Ulama Dalam Membaca.

Oleh: Suhili bin Nain.

Sudah beberapa ketika blog Pencinta Buku ini terbiar sepi tanpa catatan baru. Di celah-celah kesibukan fikiran, aku cuba memberikan ruang untuk menulis sesuatu sebagai perkongsian bersama para pengunjung sekalian.


Gambar daripada blog Jomsewabuku.
Baca huraian mengenainya di blog tersebut di alamat ini: Keutamaan & Kelebihan Menuntut Ilmu

Insya' Allah, perkongsian pada kali ini bukanlah hasil penulisan sendiri, melainkan ianya hanyalah perkongsian riwayat-riwayat yang menjelaskan kecintaan para ilmuan Islam dalam membaca buku yang dipetik daripada buku Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu.

Ibnul Jauzi berkata dalam kitabnya Shaidul Kathir: "Jalan mencari kesempurnaan menuntut ilmu adalah dengan banyak membaca buku-buku yang telah ditulis. Perbanyakkanlah membacanya kerana anda akan melihat ilmu seseorang dan semangatnya yang tinggi. Sesungguhnya tidak ada kitab yang tidak memiliki manfaat!

Aku menceritakan keadaan diriku yang tidak pernah kenyang dengan membaca satu buku. Apabila aku melihat sebuah buku yang tidak pernah aku lihat sebelumnya, aku merasa seakan-akan mendapatkan sebuah kekayaan. Aku pernah melihat katalog buku-buku yang diwakafkan di sekolah Nidzamiyah yang memuatkan enam ribu jilid.

Seandainyanya aku berkata: "Aku telah membaca 20 ribu jilid, tentu masih banyak yang belum dibaca. Aku tidak pernah kenyang dalam belajar. Aku belajar dari pengalaman orang lain, dan disalurkan dengan semangat, hafalan, ibadah dan ketinggian ilmu mereka. Sesuatu yang tidak diketahui kecuali bagi mereka yang membaca."

Khatib Al-Baghdadi menuliskan di dalam kitabnya, Al-Jami' li Akhlaq Ar-Rawi, bahawa Ibnul Mubarak berkata: "Barangsiapa ingin mengambil faedah, maka hendaklah dia melihat bukunya."

Al-Qadhi Al-Jurjani menceritakan kecintaan dirinya dalam membaca: "Aku tidak pernah merasakan nikmatnya hidup, sehingga aku duduk di rumah dan menjadikan buku sebagai teman."

Di dalam kitab Taqyid Al-Ilmi karya Khatib Al-Bahgdadi, beliau menyebutkan ciri-ciri buku dengan katanya: "Banyak manfaatnya, aman dari mudharatnya, selalu bersemangat dengan semangatmu sehingga mempersembahkan dirinya kepadamu. Merasa bosan dengan kebosananmu dan tidak ingin bersamamu. Apabila anda mendekat kepadanya, maka ia juga akan mendekat kepadamu. Apabila anda menjauh daripadanya, ia pun menjauh dari mu. Ia tidak menginginkan keburukan bagimu dan tidak menyebarkan rahsiamu. Ia tidak mengungkit-ungkit kesalahanmu dan tidak berusaha mengadu-domba dirimu."

Alangkah indahnya perkataan seorang penyair:

"Sebaik baik teman bicara dan kawan adalah buku,
Ia akan menghiburkanmu ketika engkau dikhianati kawanmu,
Tidak membuka rahsiamu apabila kau titipkan padanya,
Engkau mendapatkan hikmah dan kebenaran nyata."

Sekian penulisan pada kali ini yang dipetik dan olahan semula daripada buku Keutamaan dan Kelebihan Menuntut Ilmu yang diterjemah daripada buku bahasa arab, Kaifa Tatahammas li Thalabil 'Ilmisy Syar'i karya Syeikh Abul Qa'qa Muhammad bin Shalih. Semoga ianya memberikan manfaat buat diri saya dan anda.

Wallahu 'alam.

Baca juga: Pencinta Buku: Bacalah Buku Berulang Kali...

Khamis, 2 Jun 2011

Beli Buku: Offline Atau Online?


Setelah berkali-kali menjejakkan kaki ke kedai buku untuk membeli buku dan menempah buku melalui internet, aku dapat merasakan satu dilema dan keadaan yang membuat aku bingung.

Wisma MUIS, antara tempat yang sering aku kunjungi untuk membeli buku agama. Di dalamnya ada dua kedai buku agama, Golden Quality dan Tamma.

Setiap kali apabila pergi ke kedai buku, aku akan berada di dalam kedai buku dalam satu tempoh masa yang lama, paling kurang 30 minit. Itu kerana, mencari dan tercari-cari buku yang hendak dibeli. Sering kali buku yang aku cari tidak berada di kedai buku yang aku kunjungi. Itulah kelemahannya membeli buku dikedai buku. Tetapi kelebihannya ada juga, bila kita temui buku yang kita mahukan, maka pada waktu itu juga kita boleh mendapatkannya.

Galeriniaga.blogspot.com - Ini sajalah tempat yang aku biasa tempat buku agama. Alhamdulillah, ada banyak buku agama berkualiti yang boleh didapati daripada blog ini.
 
Selain membeli buku di kedai buku, kini aku mula berjinak-jinak dengan pembeliaan buku melalui internet secara online yang dihantar melalui pos. Alhamdulillah, penempahan buku daripada internet ini ada kelebihannya, iaitu ianya memudahkan aku untuk mendapatkan buku yang aku hajati dan idamkan. Tetapi, kelemahannya pembeliaan buku melalui cara ini adalah buku yang ditempah itu memakan tempoh masa yang tertentu untuk sampai ke tanganku. Kebiasaannya memakan masa selama seminggu, kerana aku selalunya menempah buku daripada semenanjung. (Kalau di Sabah, macam tiada)

Itulah pro dan kontra membeli buku di kedai buku dan tempahan melalui internet lalu dihantar melalui pos. Kedua-dua perkara itu bermain dalam fikiranku, sehingga menimbulkan dilema. Hendak pergi ke kedai buku atau tempah saja daripada penjual buku di internet? Kalau pergi kedai buku, bimbang pula tiada buku yang dihajati, tapi kalau beli melalui tempahan pula, lama juga menunggunya. Fikiran tidak menentu...

Apa yang boleh dibuat? Sabar sajalah...
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular