Sabtu, 19 November 2011

Hukum Memberi Salam Antara Lelaki & Perempuan Ajnabi?


Oleh: Suhili bin Nain.

Salam yang dimaksudkan di sini adalah ucapan salam, dan bukannya berjabat tangan. Ada pun, tentang hukum berjabat antara lelaki dan perempuan ajnabi yang bukan mahram, maka ianya adalah haram.
Di dalam kitab Riyadhus Shalihin karya Imam An-Nawawi rahimahullah, dalam kitab Salam, ada bab yang bertajuk:
باب سلام الرجل على زوجته والمرأة من محارمه وعلى أجنبية وأجنبيات لا يخاف الفتنة بهن، وسلامهن بهذا الشرط
 Maksudnya lebih kurang:
“Bab salam orang lelaki kepada isterinya dan wanita yang menjadi mahramnya dan kepada wanita ajnabi – seorang atau banyak – yang tidak dikhuatiri  tidak menimbulkan fitnah. Begitulah juga salam perempuan kepada lelaki dengan syarat tidak menimbulkan fitnah.”
Dalam bab ini, Imam An-Nawawi rahimahullah meletakkan 3 buah hadis. Ada yang perbuatan sahabat dan ada juga perbuatan Rasulullah s.a.w yang dilaporkan oleh sahabat r.anhum. Hadis pertama, riwayat al-Bukhari, riwayat kedua riwayat Muslim dan hadis ketiga diriwayatkan oleh Abu Dawud dan At-Tirmizi.
  1. Daripada Sahl bin Sa’ad radhiallahu 'anhu, katanya: “Di rumah kami ada seorang wanita, atau dalam riwayat lain disebutkan: “Kami mempunyai seorang wanita yang sudah tua. Ia mengambil dari pokok tanaman sayur bernama Silik, lalu sayur tu diletakkan olehnya dalam kuali dan ia menumbuk-numbuk biji-bijian gandum. Maka jikalau kami semua telah selesai mengerjakan solat jumaat, kami pun pulanglah lalu kami mengucapkan salam kepada wanita tadi, kemudian ia menghidangkan makan yang dimasaknnya itu kepada kami. – Riwayat Al-Bukhari, hadis no. 860 dalam Riyadhus Shalihin karya Imam An-Nawawi.
  2. Daripada Ummu Hani yakni Fakhitah bte. Abu Thalib radhiallahu ‘anha, katanya: “Saya datang di tempat Nabi s.a.w pada hari penaklukan kota Makkah dan beliau s.a.w sedang mandi, sedang Fathimah menutupinya, kemudian saya mengucapkan salam padanya.” Dan selanjutnya Fakhitah menyebutkan kelanjutan hadis ini sehingga selesai. – Riwayat Muslim, hadis no. 861 dalam Riyadhus Shalihin.
  3. Daripada Asma bte Yazid radhiallahu ‘anhu, katanya: “Nabi s.a.w berjalan melalui kami (kelompok kaum wanita), lalu beliau s.a.w mengucapkan salam kepada kami.” – Riwayat Abu Dawud dan At-Tirmizi dan At-Tirmizi menyatakan hadis ini hasan. Hadis no. 862 dalam Riyadhus Shalihin. Hadis ini turut diriwayatkan oleh Ibnu Majah. Syaikh Al-Albani menshahihkan hadis ini dalam tahqiqnya ke atas Sunan Abu Dawud dan Sunan Ibnu Majah.
Daripada sini, hukum memberikan salam antara lelaki perempuan itu adalah dibolehkan dengan syarat ianya tidak menimbulkan fitnah dan menjurus kepada perkara-perkara haram. Dan sebagai peringatan, hukum asal ikhtilat (percampuran/pergaulan) antara lelaki ajnabi dan perempuan ajnabi adalah haram, melainkan ada sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak. Oleh itu, apabila anda ingin memberikan salam kepada perempuan atau sebaliknya, maka perhatikan, adakah ianya menurut keperluan syarak atau sekadar suka-suka? Sekiranya tidak jelas bagi anda, maka jauhilah dan bersikap warak. Takut dan bimbanglah terhadap fitnah wanita.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam:
مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً هِيَ أَضَرُّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ
“Tidak aku tinggalkan selepas (kewafatan) ku fitnah yang lebih memudaratkan ke atas lelaki berbanding fitnah wanita.” – Shahih Muslim, hadis no. 4924.
 
Wallahu 'alam.

P/S: Riyadhus Shalihin bukanlah kitab khusus yang membicarakan hukum Fiqh, tetapi ianya adalah kitab yang menghimpunkan hadis-hadis yang kebanyakannya terdiri daripada hadis berbentuk adab dan akhlak, dan terdapat juga padanya serba sedikit hadis hukum dan berkaitan akidah.


 


Baca juga: Dari Mata Turun Ke Hati.

Sumber Rujukan:
  • Shahih Muslim, Maktabah Syamelah 2.0.
  • Riyadhus Shalihin, Maktabah Syamelah 2.0.
  • Shahih wa Dhaif Sunan Abu Dawud, Maktabah Syamelah 2.0.
  • Shahih wa Dhaif Sunan Ibnu Majah, Maktabah Syamelah 2.0.
  • Terjemahan Riyadhus Shalihin, terbitan Pustaka Nasional.

1 comments:

Nlyanasyakrien berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular