Isnin, 28 November 2011

Coretan Hujung November.

 
Setelah beberapa bulan pejam celik, makan, berjalan dan sebagainya, nampaknya aku sudah berada di akhir bulan November dan tinggal sebulan sahaja lagi akan menjelang tahun 2012. Tahun yang penuh kontroversi bagi sesetengah orang, kerana katanya kiamat tahun 2012. Tapi bagi aku, kiamat atau tidak itu bukanlah persoalan yang penting sangat untuk kita ketahui dan perkirakan. Apa yang lebih penting, perkirakan ilmu, iman dan amalan kita kepada Allah s.w.t.
          Bukankah Allah s.w.t sudah menyatakan bahawa dunia ini akan binasa dan tidak kekal selamanya. Malah Allah s.w.t menyatakan, keadaan kampung akhirat itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Malah, dalam hadis shahih, Rasulullah s.a.w juga pernah bersabda kepada sahabatnya yang mahfumnya lebih kurang, “Jadilah engkau di dunia seperti pelintas jalan,” yang pastinya pelintas jalan itu tidak akan berlama-lama di dunia, kerana ianya hanyalah persinggahan bagi dirinya.
 Tahun 2011 ini pelbagai perkara yang aku lalui. Tidak seperti tahun-tahun lepas, tahun ini adalah kali pertama aku bergelar seorang pekerja. Aku bekerja sebagai guru di Sekolah Agama Rakyat Al-Hidayah di Kuala Menggatal. Sebelum ini, selepas menduduki SPM aku tidak ada peluang dan waktu untuk pergi bekerja, kerana tahun berikutnya aku meneruskan pelajaran di Pusat Latihan Dakwah Kudat, pada tahun 2008. Kemudian, pada tahun 2009 hingga 2010 pula sambung belajar di Pusat Latihan Dakwah Keningau.
Selain itu, tahun 2011 ini jugalah aku memulakan usaha sebagai seorang blogger dan penulis. Aku menulis di blog Pencinta Buku dan juga Cerpen Dakwah. Alhamdulillah, laman web terkenal, iluvislam.com turut memberikan aku peluang untuk menyiarkan tulisan-tulisan aku di sana. Dan pada tahun ini juga, karya pertamaku yang ditulis ketika di Pusat Latihan Dakwah Keningau, ‘Pesanan Buat Diri’ diterbitkan oleh syarikat penerbitan, PTS Islamika. Ribuan terima kasih kepada mereka atas bantuan dan jasa.
Sekiranya sebelum tahun 2011, aku membeli buku tapi aku hanya dapat membeli dalam kuantiti yang sikit dalam setiap bulan. Alhamdulillah, pada tahun 2011 ini, memandangkan aku sudah bekerja, aku telah membeli buku dalam kuantiti yang banyak sehingga mengakibatkan rak buku tidak muat untuk meletakkan buku tersebut, sehingga terpaksa meletakkannya di atas meja di ruang tamu.
Antara buku-buku yang amat aku sayang adalah terjemahan buku Kaifa Tatahamasu Li Thalibil Ilmisy Syari’e terbitan Crescent News. Sebuah buku yang menghimpunkan kisah-kisah tentang para ulama ketika menuntut ilmu yang akan membuatkan anda yang membacanya bersemangat untuk bergelar penuntut ilmu.
Satu kisah yang aku tidak pernah lupa hari ini, adalah kisah di mana seorang ulama hadis terkemuka, Imam al-Bukhari yang terpaksa mengalas perut selama 3 hari dengan memakan rumput, kerana terlalu asyik menuntut ilmu sehingga terlupa mencari bekalan dan keperluan hidup. Ada juga kisah ulama yang membaca sambil berjalan dan sebagainya. Ada yang sanggup menjual atap rumah untuk membiayai kos menuntut ilmu dan ada pula yang menangisi kitab-kitabnya yang musnah seperti orang yang menangisi kematian anaknya. Kebanyakan yang terkandung dalam buku tersebut adalah kisah-kisah yang menakjubkan dan membuatkan hati pembaca bergetar. Allah, betapa hebatnya para Salafus Soleh dalam menuntut ilmu!
Walaupun begitu, pada masa hampir penghujung tahun ini ada satu perkara yang merunsingkan aku berkenaan buku. Ada banyak lagi buku yang belum terbaca sehingga habis dan kebanyakannya tebal-tebal belaka. Baca sikit, sudah beli buku baru. Satu sindrom yang kurang baik. Terjemahan Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, Suwaru Min Hayatis Shahabah, Suwaru Min Hayati At-Tabi’in, Jawabul Kafi, Syamail Muhammadiyah dan banyak lagi. Bila akan dapat habiskan pembacaan, aku sendiri tidak mempunyai jawapan untuk itu. Mungkinkah juga ianya hanya akan tersimpan sebagai rujukan apabila diperlukan. Wallahu ‘alam.
Sebelum cuti, ketika bekerja banyak perkara yang aku bayangkan untuk dilakukan, seperti membaca dan menulis. Tapi bila cuti hujung tahun sudah bermula pada hujung November ini, entah mengapa fikiranku dilanda kebuntuan. Sepertinya orang yang sedang berada di hujung jalan mati. Idea hilang dan matlamat menjadi kabur. Akibatnya penulisan di Cerpen Dakwah terhenti buat seketika dan manuskrip buku yang masih dalam proses pun tergendala. Nampaknya aku perlu “refesh”kan semula diri sebelum masuk bulan Disember beberapa hari lagi. Kalau tidak, maka akan banyaklah masa aku terbuang dengan perkara sia-sia.
Azam tahun ini bagaimana? Em, sejujurnya aku sendiri sudah lupa tentang azam tahun ini apa dia, kerana aku sebenarnya tidak mempunyai azam yang kukuh setiap tahun. Kalaulah aku tidak tersilap, rasanya azam aku tahun ini adalah untuk membeli dan mengumpul buku dengan lebih banyak, memandangkan aku sudah bekerja. Sebenarnya azam ini, sebaik-baiknya tidak perlu tunggu tahun depan. Buatlah azam setiap hari. Azam untuk menjadi lebih baik daripada hari sebelumnya.
Itulah catatan ringkas tentang warna-warni kehidupan yang dapat ku tulis dengan sekali duduk untuk coretan hujung November ini. Sebenarnya ada juga kisah sedih yang berlaku pada tahun 2011 ini, tapi biarlah ianya tersimpan rapi dalam lembaran ingatan tanpa perlu dituliskan di sini. Hidup mesti positif dan optimis kata orang, walaupun kadang-kadang diri tersasar dan menyimpang daripada laluan. Kalau jadi begitu, cepat-cepatlah kembali ke pangkal jalan.


 

1 comments:

haizefaggart berkata...

The 20 best casinos in Las Vegas, NV
Wynn 거제 출장마사지 Casino Hotel, 논산 출장안마 located in 전라북도 출장마사지 Sunrise Manor, Nevada, has three 평택 출장마사지 locations in Las Vegas and is located in Sunrise Manor, Nevada. The 원주 출장마사지 resort has 3 bars,

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular