Jumaat, 16 September 2011

Revolusi Buku; Dahulu & Sekarang.

Oleh: Suhili bin Nain.




Kemungkinan penulisan ini sudah lewat untuk dituliskan, kerana buku telah mengalami revolusinya dalam tempoh yang lama. Anggapkan saja, penulisan pada kali ini hanyalah sekadar luahan rasa.

Buku Pada Zaman Dahulu.

Pada zaman dahulu, untuk mendapatkan sebuah buku bukanlah perkara yang mudah, buku terpaksa disalin dengan menggunakan tangan, seperti mana yang kita baca dalam kisah hidup para ulama. Ketika itu mendapatkan buku dan penulisan adalah cukup payah, jumlahnya amat terhad memandangkan semuanya bergantung kepada tulisan tangan.

Setelah itu, zaman berubah. Mesin cetak pertama pun dicipta. Daripada salinan tulisan tangan, buku boleh didapati dalam bentuk cetakan mesin. Buku dapat memperbanyakkan dengan lebih mudah.
 

Pada zaman awal, untuk menyimpan buku kita akan memerlukan ruang. Semakin banyak buku yang kita miliki, maka semakin banyak pula ruang yang diperlukan untuk menyimpan buku-buku tersebut. Bukan itu sahaja, untuk membawa buku kita juga perlu menanggung beban yang berat.

Minat Para Ulama Terhadap Buku.

Satu perkara yang dapat kita renungi. Meskipun untuk memiliki dan membawa dan membaca buku pada zaman dahulu bukanlah benda yang mudah, tetapi kita dapat melihat dalam lembaran sejarah, betapa para ulama dahulu begitu meminati buku.

Para ulama dahulu sanggup menyalin dengan susah payah untuk mendapatkan buku. Mereka sanggup memikul beban yang berat di dalam karung dan sebagainya, asalkan buku-buku mereka dapat dibawa ke mana sahaja. Mereka begitu cinta kepada buku dan ilmu yang terkandung di dalamnya. Bagi mereka buku adalah amat penting, dan disayangi sebagaimana menjaga keluarganya.

Ebook; Buku Pada Zaman Ini.

Sekarang dunia berkaitan buku dan percetakan sudah mengalami perubahan. Buku bukan sahaja terdapat dalam bentuk tulisan pada kertas, buku juga boleh di dalam bentuk digital, atau ebook.


Berbanding buku berbentuk kertas yang boleh disentuh, dibelek dan dirasainya dengan deria sentuh, ebook lebih banyak kelebihan dan kemudahannya.

Ebook dapat disalin dengan lebih mudah. Berbanding buku berbentuk kertas, ebook adalah lebih ringan berkali-kali ganda untuk dibawa ke mana sahaja, memandangkan ianya berbentuk digital sahaja. Selain itu, ebook juga tidak memerlukan ruang yang besar untuk menyimpannya. Cukup dengan hanya alat sebesar ibu jari, dengan kapasiti tertentu kita boleh menyimpan berpuluh-puluh, beratus, bahkan beribu buah buku.

Ebook boleh didapati dengan mudah, ada yang percuma dan ada yang memerlukan wang. Kebanyakan ebook bermanfaat boleh didapati dengan cuma memuat turun secara percuma daripada internet.

Perkara berkaitan buku menjadi lebih mudah. Namun sayangnya, apabila kita melihat realiti pada hari ini. Banyak daripada kita tidak mengambil kesempatan atas kemudahan ini. Walaupun kita sudah melangkah lebih jauh ke hadapan dalam bidang berkaitan buku, tetapi kita masih tidak mampu menandingi kesungguhan para ulama terdahulu dalam minat memiliki dan membaca buku.

Semoga ianya dapat menjadi renungan kita bersama. Berusahalah untuk membaca buku dimana saja kita berada. Bawalah ia di dalam beg, poket baju, atau pun dalam alat digital anda. Selamat membaca... ^_^
^

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular