Selasa, 23 Ogos 2011

Pesanan Buat Insan Yang Ingin Berhenti Jatuh Cinta?

Oleh: Suhili bin Nain.

At-Taubah Wadziifahul Umur karya Syaikh Muhammad bin Ibrahim al-Hamd telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia oleh Pustaka Imam Asy-Syafi'i.
Jatuh cinta. Satu perkara berbentuk perasaan yang yang menurut pandangan penulis, tiada manusia yang akan terlepas daripadanya, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menciptakan fitrah ke atas manusia perasaan cinta, sama ada ingin dicintai atau ingin mencintai.

Jatuh cinta adalah sesuatu yang tidak salah, kerana ianya perkara yang benar di sisi syara’ selagi mana usaha untuk mendapatkan yang dicintai itu selaras dengan kehendak syara’ dan tidak menyanggahinya. Tetapi, di sana ada satu penyakit yang berkaitan cinta yang diperbahaskan oleh para ulama, namanya mabuk cinta atau di dalam bahasa arabnya "Al-‘Isyq".

Mabuk cinta atau "Al-'Isyq" ini adalah suatu keadaan dimana seseorang itu mencintai sesuatu perkara dengan melampaui batas dan norma-norma yang ditetapkan agama. Kecintaan yang keterlaluan dan berlebihan..

Pada penulisan kali ini, penulis akan memperkecilkan skop "Al-‘Isyq" atau mabuk cinta ini hanya merujuk kepada hubungan lelaki dan wanita yang bukan mahram, dan halal untuk menikah.

Berkata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah mengenai penyakit ini dalam kitabnya al-Istiqamah:

Dampak negatif yang diwariskan oleh penyakit ini, seperti lemah akal, lemah ilmu pengetahuan, rusaknya agama dan akhlak, serta terbuai dan lalai terhadap hal-hal yang bermanfaat, baik bagi agama maupun dunia, lebih-lebih berlipat-lipat daripada sisi positif yang didapatkannya.” – Dinukil daripada buku Cara Bertaubat Menurut Al-Qur’an dan As-Sunnah, halaman 237 tanpa sebarang perubahan.

Penulis percaya, di antara sekian orang yang mengalami penyakit mabuk asmara, ada yang mengetahui dan sedar betapa besarnya keburukan penyakit ini. Namun begitu, lantaran lemah dengan godaan hawa nafsu, maka untuk bertaubat daripada bukanlah benda yang mudah.

Seterusnya penulis hanya menukilkan apa yang penulis pernah dicoretkan di Facebook penulis sebelum ini,  dengan beberapa perubahan. Semoga ianya akan bermanfaat sebagai pesanan bagi insan yang ingin berhenti daripada terus jatuh cinta dan tertimpa penyakit mabuk cinta yang melemaskan hati:

Bagi mereka yang ingin berhenti jatuh cinta (biasa antara lelaki dan wanita), tetapi sering kali gagal berhenti daripadanya, terkadang hati berbisik dan tertanya dalam diri, “Mengapalah aku tidak boleh melepaskan diri daripada jatuh cinta?”. Betapa susah pun diusaha untuk menjauhi cinta manusia yang terlarang itu, ternyata kesannya tetap juga melekat di dalam jiwa.

Apabila kita ingin bertaubat daripada penyakit cinta terlarang, mabuk cinta, usaha awal yang perlu kita lakukan adalah menutup jalan atau perkara yang mendorong kita daripada jatuh cinta. Antara jalan yang mendorong dan mampu mengobarkan perasaan untuk jatuh cinta  adalah membebaskan pandangan dan kebiasaan membaca buku, mendengar muzik dan menonton wayang yang bertemakan kecintaan kepada manusia, antara lelaki dan wanita .

Seandainya kita payah untuk melepaskan diri daripada mabuk cinta, perhatikanlah beberapa  perkara yang saya sebutkan di atas. Sekiranya kita tidak mampu melepaskan diri daripada beberapa  perkara tersebut, maka berhenti daripada mabuk cinta itu kebanyakannya hanya mimpi sahaja.

Untuk penjelasan lebih baik, cubalah untuk mendapatkan kitab At-Taubah Wadziifatul ‘Umur karya Syaikh Muhammad bin Ibrahim Al-Hamd…

Wallahu 'alam.

P/S: Terjemahan kitab ini boleh didapati dalam versi lain, melalui tempahan di alamat ini: Taubat Syurga Pertama Anda.

Asalnya penulisan ini sudah tersimpan lama di dalam draf blog, namun sengaja tidak diterbitkan. Dan kini  penulis rasakan merupakan masa yang cukup sesuai untuk menerbitkannya, dan setelah dilakukan beberapa perubahan. Semoga ianya bermanfaat...
^

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular