Jumaat, 26 Ogos 2011

Dari Mata Turun ke Hati.

Oleh: Suhili bin Nain.


Apa khabar para pengunjung sekalian? Semoga anda berada dalam keadaan sihat wal afiat dan sentiasa berada dalam rahmat dan petunjuk Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Pertama sekali sebelum meneruskan penulisan lebih lanjut, marilah kita bersama-sama mengucapkan syukur dan pujian kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala, "Alhamdulillahi rabbil 'alamin." kerana telah memberikan banyak limpah kurnia nikmatnya kepada kita selama ini, sama ada daripada segi rohani mahu pun jasmani. Dan sesungguhnya, sebesar-besar nikmat Allah Subhanahu wa Ta'ala itu adalah nikmat hidayah iman dan Islam.

Cinta dan Rindu Menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah, terjemahan daripada kitab Raudhatul Muhibbin karya Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah.

Pada pertemuan kali ini, penulis akan membawa satu penjelasan yang bertajuk, "Dari mata turun ke hati!". Ini adalah kesinambungan daripada artikel yang lepas, iaitu "Pesanan Buat Insan Yang Ingin Berhenti Jatuh Cinta?", yang mana dalam pertemuan yang lepas itu penulis telah menyatakan terdapat beberapa perkara yang akan mengakibatkan berkobarnya penyakit mabuk cinta di dalam jiwa manusia. Antara salah satunya adalah membebaskan pandangan, dan inilah yang akan penulis perbahaskan pada kali ini.

Hukum Memandang.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman dalam Al-Qur'an yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka, dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka..." (Surah An-Nur: 30-31)

Menurut Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, pengharaman memandang di dalam ayat ini, bukanlah menunjukkan pengharaman secara mutlak. Tetapi memandang di sini adalah diharamkan apabila ianya menjadi sarana kepada kepada perkara yang haram, dan ianya hanya dibolehkan sekiranya mempunyai kemaslahatan.

Di dalam kitab Fiqhul Manhaji 'Ala Mazhabil Imam Asy-Syafi'e, bab Munakahat, dijelaskan lelaki yang baligh, berakal, tidak dalam keadaan terpaksa, sama ada tua atau lemah serta lelaki yang hampir baligh haram melihat mana-mana anggota badan perempuan dewasa yang bukan mahram (yakni wanita yang boleh dikahwini). Maksud perempuan dewasa ialah perempuan yang boleh menaikkan nafsu syahwat walaupun belum baligh.

Lelaki itu juga tidak boleh melihat wanita tersebut walaupun muka dan tapak tangan, sekalipun pandangan itu tidak menimbulkan fitnah menurut pendapat yang sahih di dalam mazhab Syafi'e. Begitu juga sebaliknya, perempuan diharamkan melihat lelaki bukan mahramnya tanpa tujuan.

Dinyatakan juga, seorang lelaki atau perempuan bukan mahram hanya boleh melihat antara satu sama lain di dalam beberapa keadaan sahaja, iaitu:
  1. Keperluan perubatan. Melihat itu hanya sekadar kawasan yang memerlukan rawatan sahaja. Seorang doktor lelaki dibolehkan untuk merawat pesakit wanita hanya apabila keadaan mendesak/darurat dan tiada doktor wanita yang boleh mengubatinya, begitulah sebaliknya. Bagi wanita yang dirawat doktor lelaki, dia mestilah ditemani mahramnya atau suaminya, atau kehadiran wanita yang lain yang dipercayai.
  2. Ketika berjual-beli, iaitu apabila ada keperluan untuk wanita tersebut dan dia tidak dapat dikenali dengan dilihat.
  3. Untuk penyaksian, sama ada ketika menjadi saksi atau ketika memberikan keterangan kerana penyaksian tidak sempurna tanpa melihat kepada tertuduh dan pendakwa.
  4. Ketika sesi pembelajaran, iaitu belajar atau mengajar perkara yang wajib atau sunat dipelajari kerana ilmu itu berfaedah di sisi syara'.
  5. Keadaan darurat dan keperluan sekadar untuk menghilangkan kesusahan dan mendatangkan kemaslahatan. (Dinukil daripada Kitab Fekah Mazhab Syafi'e, jilid 4, halaman 774-776 dengan beberapa perubahan)

Apabila Mata Sudah Terpanah.


Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam bersabda yang bermaksud:

"Aku tidak meninggalkan fitnah yang lebih aku bimbangi ke atas orang lelaki, selain daripada wanita." (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, At-Tirmizi, An-Nasaie dan Ibnu Majah)

Disebutkan dalam Ash-Shahih bahawa Al-Fadhl bin Abbas Radhiallahu 'anhu pernah membonceng Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam pada saat perlaksanaan korban, daripada Muzdalifah hingga ke mina. Tiba-tiba ada beberapa unta yang dinaiki wanita sedang lalu, seketika itu Al-Fadhl memandang mereka. Lalu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam memalingkan kepalanya kearah lain.

Pernah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam berpesan kepada Ali bin Abi Thalib Radhiallahu 'anhu yang bermaksud:

"Wahai Ali, janganlah engkau susuli pandangan dengan pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bahagianmu, yang yang kedua bukan lagi menjadi bahagianmu (dosa atasmu)." (Diriwayatkan Ahmad, At-Tirmizi dan Abu Daud. Syaikh Al-Albani dalam Sahih Targhib wa At-Tarhib menyatakan darjatnya, hasan lighairihi).

Berkata Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah:

"Allah menjadikan mata sebagai cermin hati. Jika seseorang menahan pandangan matanya bererti dia menahan syahwatnya dan keinginan hatinya. Jika dia membebaskan pandangan matanya, bererti dia membebaskan syahwat dalam hatinya."

Beliau berkata lagi:

"Pandangan akan menyusup ke dalam hati seperti anak panah yang meluncur saat dilepaskan. Jika tidak  membunuh, tentu anak panah itu akan mencederakan. Atau pandangan itu seperti bara api yang dilemparkan ke dahan-dahan kering. Jika tidak membakar semuanya, tentu ia akan membakar sebagian diantaranya. Dikatakan dalam sebuah syair,

"Segala peristiwa berawal daripada pandangan mata,
Jilatan api bermula daripada setitik bara,
Berapa banyak pandangan mata yang membelah hati,
Laksana panah yang dilepaskan daripada tali,
Selagi manusia masih memiliki mata untuk memandang,
Dia tidak akan lepas daripada bahaya yang menghadang,
Senang dipermulaan dan ada bahaya dikemudian hari,
Tiada ucapan selamat datang dan ada bahaya saat kembali." (Dinukil daripada buku Cinta dan Rindu Menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah, halaman 69-76, secara terpisah-pisah dengan beberapa perubahan).

Sekian perkongsian pada kali ini, semoga ianya memberikan manfaat kepada penulis dan para pengunjung sekalian.
Wallahu 'alam.

Rujukan:
  • Dr. Mustafa Al-Khin, Dr. Mustafa Al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji, Kitab Fekah Mazhab Syafi'e bahagian Munakahat, jilid 4, (Terjemahan daripada Fiqhul Manhaji 'Ala Mazhabil Imam Asy-Syafi'e), terbitan Pustaka Salam, cetakan Disember 2005.
  • Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, Cinta dan Rindu Menurut Al-Qur'an dan As-Sunnah (Terjemahan daripada kitab Raudhatul Muhibbin), terbitan Crescent News, Cetakan 2010.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular