Ahad, 3 Julai 2011

Novel "Di Bawah Lindungan Ka'abah" karya Hamka.

Oleh: Suhili bin Nain 

Nama penuhnya adalah Haji Abdul Malik Karim Amrullah, disingkatkan menjadi Hamka. Siapa yang tidak mengenal Hamka di Nusantara? Seorang insan yang dilahirkan pada 17 Februari 1908 ini akhirnya membesar menjadi salah seorang daripada ilmuan tersohor di Nusantara, dan mengarang pelbagai penulisan yang bermanfaat buat umat Islam, antara karyanya adalah kitab Tafsir Al-Azhar. Pelbagai macam karya dan penulisan yang telah beliau hasilkan dalam bidang agama, untuk membangunkan minda umat yang terlena, menuju pembaharuan dan tajdid.

Lebih hebat daripada itu, bagi mereka yang membaca sejarah hidup tokoh pembaharuan Nusantara ini, beliau bukan sahaja seorang ilmuan agama, tetapi beliau juga merupakan seorang sasterawan yang istimewa. Insya' Allah, pada kali ini saya akan cuba membawa anda mengenali Hamka sebagai seorang ahli sastera, melalui sebuah karyanya yang bertajuk Di Bawah Lindungan Ka'abah.

Dalam setiap karya sastera Hamka, beliau bukan hanya menulis untuk membuai rasa setiap pembaca karyanya. Bahkan, lebih daripada itu Hamka seringkali menyelitkan di dalam setiap sajian sasteranya bermacam pengajaran yang berunsurkan agama.

Di Bawa Lindungan Ka'abah terbitan terbaru oleh Pustaka Dini.
Salah satu karya yang cukup menarik pada pandangan saya, adalah bukunya Di Bawah Lindungan Ka'abah. Kisah di dalamnya cukup meruntun serta mengusik jiwa, dan mampu membuatkan pembaca menitiskan air mata, bagi mereka yang menghayatinya.
Di Bawah Lindungan Ka'abah yang terbit pada tahun 1962, dalam cetakan kedua.
Di Bawah Lindungan Kaa'abah mengisahkan mengenai dua insan, Hamid dan Zainab yang jatuh cinta, datang daripada dua darjat berbeza. Berbeza pada pandangan mata dan penilaian manusia dari segi darjat dan pangkat. Di sini, kita dapat melihat bagaimana pandangan manusia terhadap darjat dan status sosial itu memisahkan dua jiwa, membuatkan kebahagian sepatutnya dikecapi dirampas tanpa belas kasihan.

Berikut adalah sedikit daripada petikan cerita yang disalin daripada bahagian kulit belakang buku, Di Bawah Lindungan Ka'abah.

".... Baru sekarang adinda beroleh berita di mana abang sekarang. Telah hampir dua tahun hilang saja dari mata, laksana seekor burung yang terlepas dari sangkarnya sepeninggal empunya pergi. Kadang-kadang adinda sesali diri sendiri, agaknya adinda telah bersalah besar, sehingga kakanda pergi tanpa memberi tahu lebih dahulu.

Hanya kepada surat abang itu, surat yang hanya sekali itu dinda terima selama hidup, adinda tumpahkan air mata, kerana hanya menumpahkan air mata itulah kepandaian yang paling penghabisan bagi orang perempuan. Tetapi surat itu bisu, meskipun ia telah lapuk dalam lipatan dan telah layu kerana kerap dibaca, rahsia itu tidak juga dapat dibukanya.

Sekarang abang, badan adinda sakit-sakit, ajal entah berlaku pagi hari, entah esok petang, gerak Allah siapa tahu. Besarlah pengharapan bertemu..."


Premis cerita ini adalah klasik, memandangkan masanya adalah sekitar tahun 1927, serta berlandaskan sebuah kisah benar yang berlaku terhadap seseorang yang Hamka kenali.

Bacalah kisah ini, anda pasti tidak akan mengakhiri pembacaan anda dengan kosong, kerana disebalik lembaran kertas itu tertulis hikmah dan pengajaran yang boleh kita renungi bersama...
<

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular