Jumaat, 6 Mei 2011

Tips Memilih Buku Agama Yang Berkualiti.

Oleh: Suhili bin Nain.
 

Kebelakangan ini sibuk sangat. Adakalanya badan sibuk melakukan pekerjaan, dan adakalanya pula minda pula yang sibuk berfikir mengenai permasalahan dalam kehidupan seharian. Begitulah kehidupan insan, tidak akan pernah berada dalam kesenangan yang berpanjangan. Lebih-lebih lagi dalam tempoh beberapa ketika ini, murid-murid sekolah demam peperiksaan, maka tugas kami sebagai pendidik tentunya lebih sibuk daripada biasa, kerana hendak menyiapkan soalan, kemudian setelah itu pula akan memeriksaan jawapan di atas soalan yang disediakan. Pengorbanan hidup. Baru terasa dan faham perasaan guru-guru yang mendidik saya dan rakan-rakan terdahulu, ketika dibangku pengajian.

Alhamdulillah, dalam kesempitan masa minggu ini dapatlah ambil masa sedikit menulis sesuatu untuk blog Pencinta Buku, selain untuk mencari ketenangan dan kebahagiaan. Bak kata orang, ingin bahagia, maka kita perlu memberi, sebagaimana kata seorang penulis tanah air, Pahrol Muhammad Juoi.

Dengan izin Allah, pada kali ini saya akan berkongsi dengan anda sekalian mengenai dua tips yang biasa saya amalkan untuk memilih buku yang berkualiti. Meskipun begitu, tips ini hanyalah ringkasan dan umum sahaja, untuk menjelaskannya secara terperinci dan khusus, ianya akan memakan masa dan penjelasan yang berjela-jela. Dan kebiasaannya, kita lebih suka untuk membaca perkara yang mudah dan ringkas.

Tanpa membuang masa, teruskan membaca untuk memahami tips memilih buku berkualiti.

1. Hasil karya ulama.

Apabila saya hendak membeli buku, kebiasaanya saya akan mengutamakan untuk membeli buku yang dihasilkan oleh ulama Islam yang terkenal dan tersohor. Contohnya Imam Asy-Syafi’e, Imam Ahmad bin Hanbal, Imam An-Nawawi, Imam Adz-Dzahabi, Imam Abu Ja’far Ath-Thahawi, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Imam Ibnu Taimiyyah, Imam As-Suyuti dan Imam Ibnu al-Jauzi serta banyak lagi lagi.

Namun begitu, sekiranya saya tidak mendapati mana-mana buku hasil karya ulama Islam yang diiktiraf dunia berkenaan topik yang saya cari, maka cara alternatifnya saya akan membeli buku -buku yang ditulis oleh penulis pada pandangan saya kelihatannya dipercayai, berdasarkan syarat-syarat tertentu. Contohnya penulis tersebut membahaskan sesebuah topik berdasarkan penjelasan para ulama. Ini dapat dilihat apabila penulis memetik kata-kata para ulama Islam dan dinyatakan rujukannya, seperti nama kitab dan muka suratnya. Ini kerana, penulis yang menulis buku dengan penjelasan ulama itu menandakan bahawa  penulis buku tersebut bukannya menulis berdasarkan pemahamannya semata-mata, melainkan berdasarkan pemahaman para ulama.

2. Dinyatakan darjat hadis dan rujukan.

Setiap hadis yang diriwayatkan atau dinukilkan di dalam buku berkenaan dinyatakan darjat hadisnya. Tidak cukup sahaja dengan menyebut nama perawi hadis berkenaan, seperti “hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi”, tetapi turut dinyatakan sekali sama ada darjatnya hadisnya sahih, hasan mahupun hadis yang dhaif. Ini adalah untuk mengelakkan kita daripada tersilap dalam pengambilan ilmu dan penyebarannya. Ini kerana, menurut pemerhatian saya, kebanyakan buku yang tidak menunjukkan darjat hadis yang dinukilkannya, memiliki masalah. Contohnya hadis tersebut adalah palsu dan dusta.


Itulah dua tips ringkas yang saya amalkan dalam memilih buku agama berkualiti. Semoga ianya memberikan manfaat kepada anda. Sebelum mengakhiri perkongsian kali ini, pesanan saya kepada anda, sebaik-baiknya jauhilah buku yang tidak mempunyai ciri-ciri yang saya sebutkan di atas. Bukan untuk membakul sampahkan buku-buku berkenaan, tetapi kebiasaannya buku yang tidak memenuhi ciri-ciri berkenaan cukup tinggi terdedah kepada bermacam kesilapan. Sekian, wallahu ‘alam.

P/S: Sekiranya anda mempunyai persoalan, sama ada meminta cadangan mengenai buku yang baik atau pun sebagainya, bolehlah dituliskan pada ruangan yang disediakan. Sekiranya ada kesempatan, dengan izin Allah saya akan membantu anda semampunya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular