Jumaat, 20 Mei 2011

Aku Mahu Kaya…

Hari ini, apabila kita menyebut tentang kaya, maka kebanyakan yang terlintas di benak kita, adalah harta yang bertimbun, duit yang berjuta, rumah yang besar dihiasi pula dengan pelbagai prasarana yang selesa, kereta yang mewah-mewah dan banyak lagi.

Kekayaan, satu perkara yang amat diimpikan oleh kebanyakan manusia. Bahkan, tidak salah sekiranya dikatakan amat jarang kita temui manusia yang tidak inginkan kekayaan, kerana hampir kesemua manusia itu menginginkan kekayaan.

Malah, ada di antara manusia yang menganggap dengan kekayaan kita boleh mendapatkan apa sahaja yang kita mahukan. Tiada siapa pun yang mampu menghalang kita. Itulah fikiran sesetengah manusia yang diracuni keduniaan, hidup seumpama raja di istana, tetapi hakikatnya menjadi hamba di dalam kekayaan. Hamba kepada duit, harta benda dan material.

Siang dan malam hidupnya, diusahakan untuk mengumpul kekayaan. Lebih jauh daripada itu, ada pula di antara manusia yang mengusahakan kekayaan itu tersasar jauh daripada landasan hidayah. Tidak terfikir halal haram yang ditetapkan dalam agama, sehingga perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Ta'ala entah dimana letaknya. Setiap masa dalam mindanya, kaya, kaya, kaya dan kaya...

Adakah kita termasuk salah seorang daripada insan yang sedemikian...?


Dua Jenis Kekayaan?

Insya' Allah, pada kali ini, saya ingin mengajak anda untuk memandang kekayaan itu daripada sudut yang berbeza. Perkara yang sama, iaitu 'kaya' cuma, kita perluaskan lagi perspektif terhadap kaya itu sendiri.

Ketahuilah wahai saudaraku, sesungguhnya kekayaan itu terbahagi kepada dua bahagian, iaitu kekayaan metarial dan kekayaan hati rohani. Kekayaan material, adalah sebagaimana yang telah saya sebutkan di atas. Manakala, kekayaan hati rohani pula, adalah tenangnya hati dengan terhiasnya hati oleh sifat-sifat mahmudah dan budi pekerti yang tinggi. Contohnya sifat ikhlas, sabar, syukur, tawakal dan banyak lagi yang disebutkan di dalam kitab-kitab akhlak.

Kekayaan material dan harta benda hanya akan kekal di dunia, apabila kita meninggal dunia, maka kita akan tinggalkan segalanya, seterusnya hancurlah jasad di dalam tanah. Malah, kekayaan material itu kebanyakannya membawa malapetaka kepada manusia di dalam hidupnya, sekiranya tidak diurus dengan sebaiknya.

Namun begitu, kekayaan hati adalah sebaliknya, tidaklah ia menambahkan kepada kita melainkan kebaikan dan bahagia, meskipun tidak mempunyai harta benda yang banyak dan mewah. Kekayaan hati adalah puncak kebahagiaan. Dan disebutkan oleh para ahli hikmah, bahawa kekayaan hati inilah kekayaan yang hakiki dan sejati.

Yang Kaya Itu Jiwa...

 

Ada manusia yang kaya material, tetapi hatinya miskin. Hidupnya bergelumang dengan harta, tetapi dia tidak dapat menikmati kekayaan material itu dengan sebaiknya, lantaran hati yang menjadi alat untuk menikmati kekayaan material itu senantiasa dihinggapi rasa resah, gundah  dan gelisah.


Ada pula manusia, yang hidupnya hanyalah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tiada harta yang banyak dan tempat tinggal yang mewah, tetapi hidupnya terasa bahagia dan gembira. Semua itu kerana kekayaan hati rohani dan jiwanya yang penuh dengan sifat mahmudah.

Kesimpulan daripada penulisan saya yang serba ringkas pada kali ini, marilah kita bersama-sama mengejar dan mengusahakan kekayaan hati, kerana itulah hakikat kejayaan dan kebahagiaan yang sebenar-benar. Kekayaan hati dengan sifat mahmudah akan menghantarkan kita jalan bahagia menuju ke Syurga, sedangkan kemiskinan hati daripadannya akan membuatkan kita terhumban ke dalam Neraka yang tidak terperi azabnya.

Semoga saya dan anda yang membaca penulisan ini akan memperolehi manfaat  bagi dunia dan akhirat kita. Amiin Ya Rabbal 'Alamiin.


Wallahu 'alam.

P/S: Ramai manusia mampu mengumpul dan mencapai kekayaan material, tetapi tidak ramai yang mampu mencapai kekayaan hati dan budi...

2 comments:

Igun berkata...

Assalamu’alaikum,

Akhi, artikel ini mengingatkan ana dengan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam :

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

“Bukanlah kekayaan dengan banyaknya harta, akan tetapi kekayaan sebenarnya adalah kekayaan jiwa.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Ibnu Baththal berkata :

“Hakikat kekayaan bukanlah dengan banyaknya harta, kerana kebanyakan manusia yang dilapangkan hartanya tidak puas dengan harta yang telah dimilikinya, sehingga selalu berusaha untuk menambah hartanya dan ia tidak perduli darimana mendapatkannya. Akan tetapi kekayaan sebenarnya adalah kekayaan jiwa, iaitu orang yang merasa cukup terhadap apa yang telah diberikan kepadanya (qona’ah), redha, dan tidak tamak dalam mencari harta. Maka ia adalah orang kaya yang sebenarnya.”

Suhili Nain berkata...

Wa'alaikumsalam wbt,

Ya akhi Igun, syukron atas perkongsian hadith dan perkataan bermanfaat daripada ulama.. ^_^

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular