Ahad, 24 April 2011

Meminta nasihat, amalan para orang soleh.

Buku Bertemakan kisah orang soleh.

 
Baru-baru ini saya ada membeli sebuah buku yang ditempah daripada seorang blogger di semenanjung. (galeriniaga.blogspot.com). Buku yang saya tempah bertajuk "Mereka Adalah Para Tabi'in, Kisah-kisah Paling Menakjubkan Yang Belum Tertandingi Hingga Hari Ini" terbitan Pustaka At-Tibyan, yang asalnya diterjemahkan daripada kitab berbahasa arab bertajuk "Shuwaru min Hayati at-Tabi'in" karya Dr. Abdurrahman Ra'fat Basya.

Buku ini mengisahkan tentang kisah para tabi'in. Secara ringkas, yang dimaksudkan dengan tabi'in adalah orang yang bertemu sahabat Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam dan beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala serta mati mereka pun dalam keadaan beriman. Mereka menuntut ilmu dan mewarisi ilmu daripada para sahabat Radhiallahu 'anhum ajma'in yang mendapat dididikan daripada madrasah Rasulullah Shallallahu 'alaihi wassalam.

Para tabi'in adalah golongan yang hidup pada kurun kedua hijrah. Mereka ini tergolong dalam kalangan Salafus Soleh. Sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wassalam dalam sebuah hadis sahih, bahawa sebaik-baik umat adalah kurunnya (para sahabat), kemudian setelah itu (para tabi'in) dan kemudian setelah itu (para tabi'-tabi'in).

Bagi saya membaca kisah di dalam buku ini sememangnya cukup membahagiakan, kerana dengan itu kita boleh mengenal pejuang dan tokoh Islam yang terdahulu. Di dalam buku-buku yang bertemakan kisah hidup para pewaris Nabi dan Rasul ini, kita akan temui pelbagi kisah dan hikmah yang boleh kita jadikan sebagai panduan dalam kehidupan.

Serta tidak keterlaluan rasanya, sekiranya saya menyatakan membaca buku-buku yang membicarakan kisah hidup orang  soleh sebegini lebih baik daripada kita membaca novel-novel cinta yang mengkhayalkan, membuatkan kaki kita tidak berpijak dibumi yang nyata. Ini kerana membaca kisah hidup orang soleh itu mampu mendorong kita untuk mencintai mereka, seterusnya mengikuti jejak langkah mereka.

Amalan meminta nasihat.

Sepanjang saya membaca buku yang saya sebutkan di atas, daripada kisah seorang tokoh kepada tokoh yang lain. Saya menyedari sesuatu, bahawa adanya satu sikap para orang soleh dan orang disekeliling mereka yang sering saya dapatkan apabila membaca kisah hidup mereka, iaitu kebiasaan meminta nasihat.

Orang-orang soleh yang terdiri daripada tokoh Islam kebiasaannya apabila mereka bertemu, mereka akan saling berbincang tentang sesuatu urusan yang mampu mendatangkan kebaikan bagi diri mereka dan orang yang berada disekeliling. Mereka bukan setakat menuntut ilmu apabila bertemu dengan orang-orang berilmu, tetapi mereka juga kebiasaannya akan meminta nasihat atau pesanan sama ada ketika susah atau senang, untuk dijadikan penyuluh jalan dalam kehidupan ini.

Nasihat yang diterima saat kesusahan mampu menjadi penawar dan pengubat hati yang resah. Sedangkan nasihat yang diterima saat dalam keadaan senang, membuatkan kita senantiasa berwaspada.
Perkara ini sememangnya adalah sangat terpuji. Bahkan di dalam surah Al-Asr', di dalam Al-Qur'an, telah dinyatakan bahawa manusia itu senantiasa berada dalam kerugian melainkan mereka yang mereka beriman, beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran, serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

Manfaat meminta nasihat dan kita?

Lebih daripada itu, sekiranya kita merenung dengan lebih dalam, amalan meminta nasihat ini sebenarnya menggambarkan serta mendidik hati seseorang itu agar menjadi tawadhuk (merendah diri) kepada Allah Subhanahu wa Taala dan menanam sifat menghormati sesama insan.

Sayangnya hari ini kita dapat melihat, amalan meminta nasihat ini sudah menjadi berkurangan dan tidak begitu dibudayakan. Manusia sudah jarang meminta nasihat. Bahkan yang banyaknya pada hari ini, apabila seseorang itu dinasihatkan maka dia akan melenting dan berkata "Suka hati akulah!" atau kata-kata yang lebih kurang dengan itu. Tidak kurang juga yang menunjukkan muka yang masam.

Sekiranya nasihat itu benar, ambillah pengajaran daripadanya. Sekiranya nasihat itu tidak bersesuaian dengan keadaan kita, simpanlah. Boleh jadi, suatu hari nanti kita akan memerlukan hikmah yang tersimpan di dalamnya.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala menyelamatkan kita dan menyembuhkan hati kita daripada penyakit hati yang meracuni jiwa, lantas membunuhnya. Ya Allah, selamatkanlah kami, ketika hari dimana tiada bermanfaatnya harta dan anak-pinak melainkan orang yang bertemu dengan Mu dengan hati yang bersih. Amiin ya Rabbana.
 
Wallahu 'alam.

P/S: Kepada yang berkunjung ke laman ini, nasihatilah saya, semoga kelak ianya akan bermanfaat buat saya dan anda.... ^_^
.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Catatan Popular